Dr. Muhamad Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan elaun sewa rumah kepada mahasiswa yang tidak mendapat kemudahan penginapan asrama.

Ketuanya Dr. Akmal Saleh berkata, elaun itu boleh diberikan kepada mahasiswa dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Beliau turut mencadangkan agar penetapan harga siiling rumah sewa di kawasan sekitar universiti diwujudkan agar tidak ada pemilik rumah yang menaikkan harga sewa sewenang-wenangnya.

Cadangan itu susulan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri ANwar Ibrahim yang bersetuju untuk menaikkan kadar elaun sara hidup bagi pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Kami mohon juga untuk melihat isu asas bagi adik-adik mahasiswa yang sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan iaitu isu penempatan tempat tinggal mereka di universiti,” kata beliau dalam kenyataan.

Menurut Akmal, pihaknya telah membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menangani isu penempatan dan kadar sewa penginapan mahasiswa.

Pemuda UMNO kata Akmal, bersedia untuk membawa perbincangan tersebut dengan lebih lanjut bersama pihak berwajib.

Semalam Anwar dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar tajaan JPA bagi peringkat persediaan hingga Ijazah Lanjutan di dalam dan luar negara.

Menurut Perdana Menteri kenaikan kadar elaun itu akan dinikmati golongan pelajar berkenaan mulai 1 Julai ini.

Kekenaikan elaun itu melibatkan kenaikan 15 peratus kadar ESH bagi pelajar tajaan JPA di luar negara, kecuali kepada pelajar Ijazah Pertama di United Kingdom (UK) yang telah dinaikkan pada 7 November 2022.

Selain itu ia melibatkan kenaikan RM100 kadar ESH sebulan bagi pelajar tajaan JPA di dalam negara mengikut peringkat pengajian.

Kenaikan kadar ESH ini melibatkan pertambahan implikasi kewangan dengan anggaran RM52.03 juta bagi tempoh enam bulan mulai Julai ini, yang akan memanfaatkan 43,595 orang pelajar tajaan JPA.-MalaysiaGazette