KUALA LUMPUR – Biro Pengaduan Awam (BPA) akan diserap sepenuhnya kepada Ombudsman Malaysia apabila ia ditubuhkan kelak.
Ketua Biro Pengaduan Awam, S Letchumanan berkata, berikutan itu tiada isu pertindihan kuasa akan berlaku dengan wujudnya organisasi berkenaan.
“Sebenarnya bila ia ditubuhkan Biro Pengaduan Awam sudah tiada dan ditransform menjadi Ombudsmun Malaysia ertinya pegawai-pegawai Biro Pengaduan Awam mereka yang akan mengganggotai Ombudsmun Malaysia.
“Tetapi, ia bukan agensi kerajaan walaupun anggotanya penjawat awam. Jadi kita akan beri mereka (anggota BPA) pilihan sama ada mahu kekal menjadi penjawat awam jadi mereka perlu pergi ke jabatan lain tapi kalau mahu di Ombudsmen adalah sebaliknya,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Libat Urus Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bersama ahli Parlimen menegnai cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia di Parlimen, hari ini.
Penubuhan Ombudsman Malaysia adalah bagi memastikan pentadbiran yang cekap dan berkesan serta tadbir urus yang lebih baik dalam perkhidmatan awam.
Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia dijangka dibentangkan pada Oktober ini.
BPA merupakan agensi utama di Malaysia yang menguruskan aduan berhubung salah tadbir dalam perkhidmatan awam berdasarkan kepada Pekeliling Am Bilangan Dua Tahun 2022.
Menurut Letchumanan, sehingga kini seramai 180 orang yang menganggotai BPA. -MalaysiaGazette