Antara aktiviti yang diadakan pada ECCE Camp.

KOTA KINABALU – Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Persatuan Pendidikan Awal Kanak Kanak Sabah (PERKAS) menganjurkan Program Early Childhood Care and Education (ECCE) Camp di Minakit Retreat Bundu Paka, Kota Belud, baru-baru ini.

Program yang diadakan dengan kerjasama syarikat BCM Edu Consultant itu disertai lebih 30 pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UMS dan juga guru-guru tadika swasta. Dekan FPP UMS, Profesor Dr. Murnizam Halik berkata, penganjuran program itu antara lain bagi memberi pendedahan tentang keperluan dan kehendak industri pendidikan dan penjagaan kanak kanak sekitar negeri Sabah pada masa kini.

“Program ini juga bertujuan melahirkan guru yang berilmu, berketerampilan, berdaya tahan, mengamalkan nilai-nilai positif dan gaya hidup sihat selaras dengan prinsip Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Guru.

“Ia juga seiring dengan hasrat membangkitkan roh dan jiwa guru sejajar dengan tema sambutan hari guru tahun 2023 iaitu Guru Insani Pemangkin Generasi Madani,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr. Murnizam turut menyuarakan harapan agar pelaksanaan program itu memberi peluang kepada para pelajar untuk memahami realiti persekitaran dan sentiasa bersikap responsif sebagai persediaan apabila memasuki dunia pekerjaan sebenar kelak.

“Melalui program ini, para peserta boleh mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang telah ditimba di universiti, selain didedahkan dengan keupayaan membina kemahiran berfikir aras tinggi dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

“Para pelajar juga mempamerkan daya ketahanan dan kekuatan jasmani, emosi, rohani dan sosial serta mempraktikkan semangat berpasukan yang tinggi sekali gus menunjukkan kecaknaan terhadap kepentingan perkhidmatan kepada komuniti.

“Secara optimisnya, program seumpama ini dilihat mampu membangunkan potensi diri peserta dengan menilai kesesuaian ciri personaliti kendiri dan kerjaya dalam bidang keguruan,” tambahnya.

Sementara itu, seorang peserta Ahmad Nor Syakirin Bahak Udin meluahkan rasa gembira sepanjang tiga hari mengikuti program tersebut.

“Saya memperoleh pengetahuan dan pengalaman baharu dari segi pemasaran digital untuk tadika yang disampaikan Nur Kamal Moong dari Mamam Digital, selain memperoleh kemahiran pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang dikongsikan oleh Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok dari UMS.

“Pengasas TKC Education, Eny Zaniza Yasir juga memberikan input penting kepada kami terutama dalam kemahiran komunikasi kanak-kanak dan pengurusan kelas, selain aspek pengurusan kewangan yang dikongsikan oleh Presiden PERKAS, Fatimah Mohd Yasin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast