KUALA LUMPUR – Program Advokasi Penetapan Badan Awam Terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ke Arah Mencegah Ketirisan Dana Tahun 2023 dianjurkan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabatnya hari ini.
Program ini adalah seiring dengan pewartaan Pertubuhan Peladang sebagai Badan Awam dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) yang berkuatkuasa 22 Mei 2023.
Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 15 Mei 2023, Perintah SPRM bagi Penetapan Badan Awam 2023 menetapkan mana-mana Pertubuhan Peladang yang dibentuk dan didaftarkan menurut Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) dan mana-mana Persatuan Nelayan yang ditubuhkan dan didaftarkan menurut Akta Persatuan Nelayan 1971 (Akta 44) ditetapkan sebagai badan awam bagi maksud ‘Akta’.
Pengiktirafan pertubuhan peladang sebagai badan awam adalah wajar bagi memelihara dan memastikan kepentingan kerajaan, pertubuhan peladang dan ahli-ahli peladang lebih terjamin dan terpelihara serta memastikan tadbir urus entiti yang bebas dari unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Selaras dengan kebersamaan Nafas dengan SPRM dalam membanteras rasuah disegenap lapisan organisasi, Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, pewartaan pertubuhan peladang sebagai badan awam ini meletakkan pentingnya pertubuhan peladang kepada negara.
“Ini umpama satu pengiktirafan yang perlu dipikul dengan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah dan tadbir urus pertubuhan peladang.
“Dengan pewartaan ini juga, akan memberi satu definasi yang jelas dan tepat dalam menguatkuasakan perundangan bagi memastikan warga Peladang menjauhkan diri dari perlakuan rasuah dalam aktiviti harian perniagaan,” katanya.
Pewartaan SPRM di bawah Seksyen 71 (1) ASPRM 2009 ini membawa maksud pertubuhan peladang yang merangkumi Nafas, pertubuhan peladang negeri dan pertubuhan peladang kawasan sebagai badan awam.
Penganjuran program pada hari ini, membuktikan komitmen dalam memperkasakan integriti, nilai insan yang tinggi dan unggul demi menjadikan Nafas sebuah organisasi Pertubuhan Peladang yang telus dan cemerlang.
Sebagai agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Nafas memikul tanggungjawab dalam memperbaiki sosio-ekonomi para peladang dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan serta memajukan industri pertanian negara. – MalaysiaGazette