KUALA LUMPUR – Platform Perdagangan Digital (MDTP) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya mengatasi sasaran lima tahunnya dalam masa kurang daripada satu tahun pelancaran awalnya.

MDTP, yang diperkenalkan pada Julai 2022 dengan kerjasama peneraju pasaran teknologi data Fusionex Group, ialah platform perdagangan kecerdasan buatan (AI) yang bertujuan untuk memaksimumkan potensi eksport Malaysia dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam mengembangkan perniagaan mereka di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fusionex Datuk Seri Ivan Teh berkata dari segi hasil dan jualan, lebih RM100 juta transaksi direkodkan melalui MDTP.

“Kami mempunyai lebih daripada 1,200 PKS sekarang. Jika anda melihat jumlah itu dan mendarabkan dengan 10 produk bagi setiap satu, kita sudah mempunyai kira-kira 15,000 unit simpanan stok (SKU),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi MDTP di sini hari ini.

MDTP juga dijangka menarik sejumlah 50,000 PKS dalam tempoh 10 tahun.

Ia telah berjaya menarik banyak pembeli antarabangsa dari China, Jepun, Korea, AS, United Kingdom, Jerman, Arab Saudi, India, Dubai, Indonesia, Filipina, Singapura, Myanmar, Thailand, Vietnam, Kemboja, Laos dan Brunei.

Perniagaan dari negara ini merangkumi pelbagai sektor, termasuk francais, minyak dan gas, minyak sawit, komoditi, makanan dan minuman, farmaseutikal, peralatan mandian dan kosmetik, teknologi maklumat dan komunikasi, dan banyak lagi.

Timbalan CEO (Pembangunan Pengeksport) MATRADE Abu Bakar Yusof berkata MDTP adalah penting untuk memacu dan mempercepatkan penyertaan PKS dalam pasaran eksport.

Beliau berkata walaupun PKS menyumbang 40 peratus daripada KDNK negara, sumbangan mereka kepada pasaran eksport masih agak kecil kerana eksport segmen itu berjumlah 10.9 peratus daripada jumlah eksport Malaysia sebanyak RM1.55 trilion yang dicatatkan pada 2022.

“Jadi, melihat peratusan ini, ia adalah RM169 billion. Nampak besar tetapi sangat kecil berbanding keseluruhan eksport. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab MATRADE untuk kita menyediakan lebih ramai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menceburi sektor eksport,” katanya.

Segmen PKS merangkumi 97.2 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar di Malaysia.

Abu Bakar berkata MATRADE akan terus menerima perkongsian awam-swasta (PPP) dalam memacu eksport Malaysia untuk kekal relevan dan berdaya saing di arena global.

Melalui platform itu, MATRADE berkata ia telah membentuk perkongsian strategik dengan pasaran utama Asean, persatuan, kerajaan negeri, pasaran antarabangsa dan rakan kongsi kewangan, insurans dan logistik terkemuka untuk memperkasakan ahli MDTP meneroka peluang perdagangan global. – BERNAMA