PORT DICKSON – Pembangunan Projek Katalis Lembah Wawasan Malaysia (MVV 2.0) sebagaimana adalah bertepatan dengan usaha kerajaan dalam melestarikan pertumbuhan ekonomi di Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pelan Induk Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan yang memfokuskan kepada pembangunan di MVV 2.0 adalah unik dan menarik kerana ia dirancang untuk dibangunkan secara bersasar berasaskan kedudukan persekitaran sedia ada.
Menurut beliau, usaha mewujudkan Lembah Aeroangkasa Negeri Sembilan (NSAV) untuk dijadikan sebagai pusat industri pembuatan kapal terbang yang menyasarkan pusat pemasangan kapal terbang yang dilengkapi dengan ekosistem rantaian bekalan bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal melonjakkan penguasaan Malaysia dalam industri tersebut yang pada masa kini sekitar lima peratus.
“Malaysia tidak ketinggalan dalam industri aeroangkasa kerana terdapat pelbagai syarikat yang terbabit sama ada dari luar negara mahupun syarikat tempatan beroperasi di negara ini.
“Syarikat tempatan seperti CTRM yang mengeluarkan bahan komposit untuk pembuatan kapal terbang diiktiraf di peringkat antarabangsa di mana produk keluaran syarikat ini dibekalkan kepada syarikat terkemuka seperti Airbus dan Boeing,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Projek Katalis MVV 2.0 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, usaha untuk membangunkan Port Dickson sebagai hab maritim di samping masih mengekalkan keindahan pantai sebagai pusat pelancongan bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara.
Beliau menambah, industri penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih (MRO) dalam industri perkapalan, pembekalan bahan api, pembekalan air dan makanan, industri bina kapal dan pelbagai lagi wajar dilaksanakan untuk memanfaatkan kedudukan negara ini di laluan perkapalan yang sibuk di Selat Melaka.
Selain itu, Anwar berkata, pelbagai konsep pembangunan yang diutarakan termasuk Wilayah Pintar, Kawasan Perindustrian Berteknologi Tinggi, Lembah Kenderaan Tanpa Pemandu dan Lembah Semikonduktor Negeri Sembilan yang bakal dibangunkan secara bersasar merupakan pembangunan mampan yang cukup terancang serta holistik dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.
“Saya berkeyakinan usaha ini akan menjadikan Seremban dan Port Dickson setanding dan tidak mustahil untuk menjadi lebih baik lagi berbanding dengan bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan bandar-bandar lain.
“Selaku mantan Ahli Parlimen Port Dickson, saya dari awal telah mengikuti perkembangan pembangunan MVV dan malah Exco Pelaburan Kerajaan Negeri Sembilan telah beberapa kali membentangkan pelan pembangunan ini kepada saya,” jelasnya.
Anwar memberitahu, untuk suku keempat 2022, tanah seluas kira-kira 3,500 ekar telah dimeterai dalam kawasan MVV 2.0.
Sehubungan itu, beliau berharap, projek pembangunan NS Smart Park seluas 1,300 ekar, Lembah Semikonduktor Negeri Sembilan seluas 841 ekar dan kawasan perumahan seluas 1,350 ekar di dalam Wilayah Pintar dapat dimulakan dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette