Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kos perbelanjaan bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan dianggarkan sebanyak RM420 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kos yang dijangka dibelanjakan dalam PRN di enam negeri terbabit.

PRN di enam negeri berkenaan dijangka akan berlangsung pada Ogos dengan Kelantan semalam mengumumkan 22 Jun ini sebagai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Azalina berkata,  semua pihak yang terlibat dalam PRN berkenaan perlu mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) serta undang-undang lain yang berkaitan pilihan raya.

Menurut beliau, pada setiap kali penganjuran pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa memberi saranan kepada semua pihak supaya mengemukakan laporan kepada mana-mana jabatan dan agensi yang berkaitan.

Ini antaranya termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia jika terdapat mana-mana pihak melakukan kesalahan sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

“Ini bagi membolehkan tindakan dan siasatan segera diambil oleh jabatan/agensi tersebut.

“Bagi tujuan ini, SPR turut memerlukan kerjasama yang menyeluruh dan adalah tanggungjawab semua pihak serta pemegang taruh yang terlibat dalam memastikan urusan kempen pilihan raya dilaksanakan secara lancar dan teratur,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast