Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan laporan berkaitan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya akan membentangkan dua laporan berkaitan projek tersebut di Dewan Rakyat.

“PAC akan membentangkan dua laporan berkenaan kemajuan projek LCS yang akan menyentuh kemajuan LCS yang telah dicapai dari Oktober 2022 hingga Mei 2023 dan dari Jun 2023 sehingga September 2023.

“Pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang akan diadakan pada 9 Oktober hingga 30 November 2023 untuk dibahaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Mas Ermieyati, pihaknya akan memanggil wakil Kementerian Pertahanan pada September ini bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kemajuan pembinaan LCS bagi bulan Jun hingga September 2023.

Sementara itu, beliau meminta pihak media agar tidak menyiarkan butiran prosiding yang dilakukan PAC terhadap projek itu supaya tidak mengganggu siasatan.

Pada 12 Jun lalu media melaporkan PAC kesal dengan tindakan saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan dalam isu berkaitan LCS apabila mendedahkan inti pati prosiding kepada media.

Mas Ermieyati berkata, tindakan itu bukan sahaja jelas bercanggah dengan peraturan Dewan Rakyat malah pendedahan secara terbuka juga berisiko mengganggu siasatan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sudah mengutuskan surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengenai pelanggaran itu.

Mas Ermieyati berkata, artikel bertajuk ‘Kurangkan kapal LCS jimat kos – Saksi’ melanggar Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PM 85).

Peraturan itu menyatakan, keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Khas Pilihan dan apa-apa surat dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh sesiapa ahli jawatankuasa itu, atau oleh sesiapa jua, sebelum jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada majlis.- MalaysiaGazette