Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memimpin tangan Imam Besar Masjid Al Aqsa, Syeikh Ekrima Sabri ketika hadir ke Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kompleks Islam Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 15 JUN 2023.

PUTRAJAYA – Malaysia konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin, berpaksikan keadilan dan menentang sebarang isu keganasan serta kekejaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar  berkata, Malaysia memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin untuk mendapatkan kemerdekaan.

“Pada masa yang sama, saya turut menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pendudukan haram Israel, merealisasikan aspirasi untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967, dan Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Malaysian Research & Education Foundation (MyRef) yang turut disertai Syeikh Dr Ekrima Sabri, Imam Masjid Al-Aqsa yang juga merupakan Mantan Mufti Jurusalem di Kompleks Islam, di sini.

Dalam pertemuan itu, beliau menegaskan pendirian Malaysia yang tidak pernah berubah.

“Di dalam pertemuan tersebut saya turut menzahirkan rasa simpati dan sokongan berterusan masyarakat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan tentera Israel yang menyalahi undang-undang, mencabuli hak asasi manusia Palestin serta mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa,” ujarnya.

Sementara itu, Syeikh Dr Ekrima Sabri menyampaikan rasa terima kasih kepada kerajaan Malaysia termasuk pengamal media atas sokongan dan solidariti yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan laporan berita yang konsisten.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada menteri agama dan seluruh media, begitu juga rakyat Malaysia yang sangat membantu selama ini di Palestin begitu juga media yang sentiasa menyampaikan berita kami.

“Kami harap suara kami di Palestin kedengaran dan kami barap media menyampaikan apa yang berlaku melalui pelbagai bahasa agar dapat menjadi pengetahuan di seluruh dunia,” ujarnya.

Dalam masa yang sama beliau berkata, perjuangan terhadap Masjid Al-Aqsa merupakan tanggungjawab semua pemimpin Islam seluruh dunia.

“Tanggungjawab Masjidil Al-Aqsa adalah tanggungjawab setiap pemimpin masyarakat Islam dan mereka wajib mempertahankannya sebagaimana orang-orang Palestin mempertahankannya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette