KUALA LUMPUR – Pendedahan nama individu yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian dapat membantu menjaga akauntabiliti dan memberi amaran kepada mereka yang terlibat dengan kegiatan melanggar undang-undang.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, langkah itu juga boleh memberi keyakinan kepada orang awam bahawa tindakan sedang diambil untuk menangani isu tersebut dengan serius.
“Walau bagaimanapun, keputusan untuk mendedahkan nama-nama tersebut adalah bergantung kepada undang-undang dan proses yang sedia ada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mendedahkan mengenai kewujudan ‘naungan politik’ yang melindungi pengendali pengendali platform perjudian dalam talian.
Beliau memberitahu, ia menjadi kekangan terbesar dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.
MCW menambah, keputusan untuk mendedahkan nama ahli politik atau parti politik yang terlibat dengan perbuatan tersebut harus diambil oleh pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, apabila melibatkan isu-isu politik yang sensitif, terdapat pertimbangan yang perlu dibuat mengenai integriti penyiasatan, kesahihan bukti dan prinsip keadilan.
“Keputusan ini juga mestilah tidak bertentangan dengan undang-undang negara dan peraturan pihak berkuasa berkenaan,” jelasnya.
MCW juga bimbang melihat peningkatan aktiviti perjudian dalam talian yang semakin tidak terkawal, risiko penipuan atau penyalahgunaan data pengguna dan kemungkinan gangguan sosial serta kerosakan terhadap individu dan keluarga yang terjejas akibat perjudian jika isu itu tidak ditangani segera.
Selain itu, katanya, ia juga boleh mengancam integriti institusi dan merosakkan keyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa.
“Penting bagi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan segera untuk menyiasat dakwaan ini dengan teliti, menjalankan proses undang-undang yang adil dan memastikan keadilan bagi semua pihak yang terlibat.
“Jika terbukti benar, ini menimbulkan kebimbangan mengenai integriti dan ketelusan dalam penguatkuasaan undang-undang serta isu moral dan keselamatan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette