KUALA LUMPUR – Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) fasa dua mula beroperasi bermula 12.01 tengah malam ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, fasa dua lebuh raya berkenaan membabitkan baki jajaran utama sepanjang 7.8 kilometer (km) bermula dari Sri Petaling, Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) sehingga Persimpangan Cheras-Kajang.
“Pembukaan fasa terbaharu itu melengkapkan objektif utama Lebuh Raya SUKE iaitu menyuraikan kepadatan trafik khususnya di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2),” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pembukaan Fasa Dua Lebuh Raya Bertingkat SUKE di Plaza Tol Alam Damai.
Alexander berkata, pembukaan lebuh raya tersebut akan dapat membantu menampung sebahagian trafik yang lazimnya melalui MRR2 dan dapat memendekkan masa perialanan dari Sri Petaling ke Ulu Kelang kepada 25 minit berbanding 75 minit melalui laluan sedia ada.
“Menerusi pembukaan jajaran Fasa Dua berkenaan, pengguna dapat menggunakan keseluruhan jajaran utama Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 kilometer dari Sri Petaling ke Ulu Kelang.
“Terdapat satu lagi persimpangan iaitu Jalan Susur (ramp) Jalan Alam Damai masih dalam pembinaan dan dijangka siap dalam suku ketiga tahun ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu ,Alexander berkata, secara keseluruhan, projek Lebuhraya Bertingkat SUKE berkenaan telah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 99.54 peratus sehingga 4 Jun lalu.
Lebuh Raya SUKE merupakan rangkaian lebuh raya yang menghubungkan lima lebuh raya lain iaitu Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuh Raya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat KL atau Lebuh Raya Salak.
“Pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PROLINTAS menasihatkan semua pengguna lebuh raya supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memandu secara berhemah,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan pengguna Lebuh Raya SUKE supaya sentiasa mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan.
“Jangan sewenang-wenangnya berhenti di tepi lebuh raya ini untuk mengambil gambar dan berswafoto. Panorama di Lebuh Raya SUKE ini memang sangat menarik dan indah namun jangan sesekali kita mengabaikan keselamatan diri kita dan juga pengguna lebuh raya lain,” katanya.
Sempena pembukaan lebuh raya berkenaan, Tol Plaza Alam Damai yang juga bermula tengah malam ini akan beroperasi secara percuma untuk pengguna sehingga 29 Jun nanti.-MalaysiaGazette