KOTA KINABALU – Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan UMS dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), di Wisma IDS, di sini, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, program itu antara lain bertujuan membantu pihak Jabatan Penjara Malaysia (JPM) menghasilkan satu ekosistem Kajian Pengesanan Bekas Banduan yang mengikuti dua program kelolaan PPIB sejak tahun 2022.
“Program yang dikendalikan oleh PPIB itu ialah projek The Scholars bagi banduan muda dan The Enrichment bagi banduan dewasa.
“Dalam projek penyelidikan ini, IDS menyumbangkan dana bernilai RM35,000 untuk membangunkan aplikasi pengesanan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Rosalam, projek itu akan diterajui oleh penyelidik-penyelidik UMS merupakan satu bentuk kerjasama yang julung kalinya diadakan dengan kerjasama IDS dan JPM.
“Adalah menjadi harapan agar semua perancangan bagi perjanjian penyelidikan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan membuahkan hasil sekali gus membawa manfaat besar bukan sahaja kepada golongan bekas banduan, tetapi juga kepada semua pemegang taruh di Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya,” tambah Dr. Rosalam. – MalaysiaGazette