MELAKA – Kerajaan sedang memperhalusi mewujudkan kepelbagaian peluang ekonomi di Melaka dan Negeri Sembilan untuk merapatkan jurang kemiskinan di dua negeri terbabit dengan Lembah Klang dan Johor.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, walaupun negeri Hang Tuah dan Negeri Beradat itu menikmati hasil limpahan ekonomi kerana kedudukan geografinya berada di tengah-tengah antara Johor, Kuala Lumpur dan Selangor – ekonomi dua negeri itu perlu dipelbagaikan lagi.
“Jadi sebab itu dalam kajian separuh penggal (Rancangan Malaysia Ke-12) dan juga untuk tujuan RMK-13 yang saya sedia maklum keperluan untuk kita mengimbangi juga tumpuan kepada negeri-negeri yang berada di tengah macam Melaka dan Negeri Sembilan.
“Tambahan pula sebab mereka negeri yang kecil, tanah tak banyak, sumber alam pun tak besar (dan) kalau kita tidak berhati-hati, maka dua negeri ini berada dalam keadaan yang lebih sukar sebenarnya untuk memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021- 2025 bersama Menteri Ekonomi di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, Melaka dan Negeri Sembilan bukanlah negeri yang jurang kemiskinannya tinggi berbanding enam negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan juga Sarawak.
“(Namun), Melaka dan Negeri Sembilan bukanlah seperti Selangor, Johor atau Pulau Pinang yang mempunyai aktiviti perkilangan, aktiviti perniagaan yang ke depan tetapi ia juga bukanlah negeri yang paling miskin.
“Melaka mempunyai asas perindustrian yang lebih baik, sektor perkhidmatannya ada lebih 50 peratus malah sektor perindustrian dan pelancongannya hampir sama peluangnya
“Ini juga perkara-perkara yang Insya-Allah kita akan perhalusi supaya peluang pekerjaan itu akan terus dipelbagaikan kerana kita pun tak mahu Melaka ini dikenali sebagai pusat pelancongan sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette