Orang ramai membeli juadah berbuka puasa sempena bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadan TTDI, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Nilai jualan Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2023 merekodkan peningkatan 5.9 peratus kepada RM2.5 bilion dan mewujudkan 203,667 peluang pekerjaan pada 2023.

Jabatan Perangkaan berkata, nilai jualan bazar Ramadan dan Aidilfitri meningkat sebanyak 5.9 peratus untuk mencatatkan sejumlah RM2.5 bilion berbanding tahun
sebelumnya (2022: RM2.4 bilion).

Sementara itu, bilangan pekerja bertambah 30.3 peratus dengan merekodkan sejumlah 203,667 orang.

Dari segi prestasi mengikut negeri, Selangor mendominasi nilai jualan bagi Bazar Ramadan dan Aidilfitri dengan merekodkan sebanyak RM0.6 bilion dengan bilangan pekerja seramai 32,760 orang, diikuti oleh Johor, RM0.4 bilion (35,417 pekerja) dan Kuala Lumpur dengan RM0.3 bilion (10,098 pekerja).

Ketiga-tiga negeri ini menyumbang 50 peratus kepada nilai jualan keseluruhan.

Di peringkat daerah pentadbiran, Johor Bahru mencatatkan nilai jualan tertinggi dengan RM207.6 juta, diikuti oleh Petaling, RM204.5 juta dan Klang, RM87.4 juta.

Jumlah nilai jualan bazar Ramadan menunjukkan peningkatan 2.4 peratus untuk merekodkan sejumlah RM2.0 bilion pada 2023 dengan Selangor mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM451.4 juta, diikuti oleh Johor RM313.5 juta dan Kuala Lumpur RM264.3 juta.

Seterusnya bagi peringkat daerah pentadbiran, Petaling merekodkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM186.0 juta. Johor Bahru adalah kedua
tertinggi iaitu RM148.3 juta dan diikuti oleh Ulu Langat, RM64.3 juta.

Sementara itu, bilangan pekerja bagi bazar Ramadan mencatatkan peningkatan dua digit 28.2 peratus berbanding 133,726 orang pada 2022.

Johor mencatatkan bilangan pekerja Bazar Ramadan tertinggi iaitu seramai 30,159 orang, diikuti oleh Selangor 26,655 orang dan Sarawak 14,553 orang.

Bagi peringkat daerah pentadbiran, Johor Bahru mencatatkan bilangan pekerja tertinggi iaitu seramai 14,493 orang, diikuti Petaling adalah kedua tertinggi dengan 8,746 orang, diikuti oleh Kinta, 4,681 orang.

Sementara itu, bagi prestasi bazar Aidilfitri, jumlah nilai jualan meningkat 21.4 peratus berbanding 2022 (RM0.4 bilion).

Selangor mencatatkan jumlah nilai jualan tertinggi iaitu RM112.7 juta, diikuti oleh Johor RM97.5 juta dan Melaka, RM47.4 juta.

Manakala di peringkat daerah pentadbiran, Johor Bahru mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu sebanyak RM59.3 juta, diikuti Klang RM53.6 juta dan Melaka Tengah RM43.5 juta.

Dari segi jumlah pekerja, terdapat 32,281 orang bekerja di bazar Aidilfitri iaitu meningkat 42.6 peratus berbanding 22,635 orang yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Selangor mencatatkan jumlah pekerja tertinggi iaitu seramai 6,105 orang, Johor yang kedua dengan 5,258 orang dan diikuti oleh Kedah 2,850
orang.

Manakala di peringkat daerah, Klang mencatatkan bilangan pekerja tertinggi iaitu seramai 2,822 orang dan Melaka Tengah adalah yang kedua tertinggi dengan 2,226 orang, dan diikuti oleh Johor Bahru seramai 2,037 orang. – MalaysiaGazette