Logo Jabatan Pendaftaran Negara

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan isu tular di media sosial mengenai “beberapa kakitangan JPN Pulau Pinang dicekup polis kerana terlibat pengeluaran dokumen palsu yang sah” adalah kes tangkapan seorang pegawai JPN Pulau Pinang pada 2019.

Menurutnya, siasatan telah dilakukan oleh pihak berwajib ketika itu dan pegawai telah pun ditahan dan dituduh di bawah beberapa kesalahan termasuklah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Untuk makluman perbicaraan kes berkenaan sedang berjalan dan tertuduh masih ditahan di penjara,” menurut JPN dalam satu kenyataan.

JPN turut mengulangi pendirian tegas bahawa tidak akan sama sekali melindungi mana-mana kakitangan yang didapati terlibat dalam sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.

Katanya, JPN sentiasa serius dan komited memastikan tiada pelanggaran integriti seumpamanya dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen-dokumen pengenalan diri secara berterusan serta pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan.

Malah kerjasama strategik dengan agensi-agensi penguat kuasa lain juga sentiasa dijalankan bagi memastikan tiada sebarang ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada masa sama, JPN mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai maklumat yang diperolehi dalam talian dan menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut sebelum membuat sebarang pandangan atau kesimpulan mengenai isu berkenaan atau memanjangkan mesej berkenaan.

Perkongsian maklumat yang tidak tepat boleh menimbulkan keresahan dan keraguan dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast