KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan memujuk seorang wanita untuk melakukan persetubuhan haram dengannya.
Tertuduh, Khairul Anuar Mhd Juri yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kelihatan tenang namun asyik menundukkan kepalanya sepanjang masa ketika berada dalam mahkamah.
Khairul menafikan tuduhan terhadapnya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin sebentar tadi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah memujuk seorang perempuan berusia 37 tahun yang pada masa mengetahui wanita itu adalah isteri orang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bangunan DBKL pada 14 Jun 2022 sekitar jam 8 malam sehingga 4 November 2022 sekitar jam 11.57 pagi.
Oleh yang demikian, tertuduh kini berdepan dengan kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Diana Saad menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 selain syarat lain seperti tidak menganggu saksi pendakwaan.
Namun tertuduh yang diwakili oleh peguam, Fahmi Abd Moin pula merayu untuk jaminan minima memandangkan anak guamnya itu menyara keluarga termasuk empat orang anak, selain akan digantung kerja dengan menerima gaji separuh sepanjang penggantungan.
”Anak guam saya hanya mampu bayar RM2,000 sahaja kerana dua anak di kolej manakala dua lagi masih bersekolah,” hujahnya.
Majistret Nurul Izzah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta dan sebutan kes seterusnya pada 26 Julai ini. -MalaysiaGazette
kesian, begitu lah nasib ikan bilis..kena saja, pakai tangguh pun dapat, pakai jala pun dapat, jgn kata guna pukat lagi lah mendapat.