KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin serta Tan Sri Nor Mohamed Yakop digesa menjelaskan dakwaan berhubung kehilangan aset UMNO sebanyak RM100 bilion.
Penjelasan itu perlu susulan pendedahan pengendali laman blog MalaysiaToday, Raja Petra Kamaruddin yang Dr. Mahathir, Daim dan Nor Mohamed kini bertelagah berhubung isu kehilangan aset UMNO itu.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, rakyat khususnya ahli UMNO berhak mengetahui cerita sebenar berhubung pendedahan Raja Petra itu.
Katanya, sudah pasti pendedahan itu sesuatu yang serius dan perlu kepada penjelasan daripada tiga bekas pemimpin UMNO berkenaan kerana isu itu berlaku ketika era Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.
“Saya kira orang ramai khususnya ahli UMNO perlu diberi penjelasan oleh tiga bekas pemimpin ini. Bagi saya ini adalah sesuatu yang serius dan melibatkan dana yang besar.
“Walaupun pendedahan ini agak kontroversi, namun bagi saya tiga individu berkenaan perlu tampil menjelaskan kerana ia membabitkan kepentingan awam, apatah lagi jumlah yang begitu besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beberapa hari lalu, Raja Petra dalam satu video mendakwa Dr. Mahathir, Daim dan Nor Mohamed kini bertelagah berhubung kehilangan aset UMNO yang bernilai kira-kira RM100 bilion.
Beliau dilaporkan berkata, aset itu termasuk dalam bentuk tunai, yang mana kini didakwa hanya tinggal sekitar RM500 juta.
Jelas Raja Petra lagi, isu aset milik UMNO bukanlah rahsia, malah banyak buku telah mendedahkan mengenai aset serta pelaburan parti itu.
Apatah lagi dengan pendedahan yang dibuat oleh Tan Sri Halim Saad dalam suratnya kepada Dr. Mahathir berhubung aset dan pelaburan UMNO yang diurusnya sebelum ini.
Kata Mustapha, pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sewajarnya menyiasat dakwaan itu kerana ia satu tuduhan yang serius.
“Saya kira ada baiknya jika pihak berkuasa turut menyiasat dakwaan ini. Jika benar ini bukan satu perkara biasa dengan jumlah yang begitu banyak.
“Isu aset UMNO telah menjadi rahsia umum dan perkara ini telah dibangkitkan ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO.
“Namun Najib ketika itu agak baik hati tidak mahu membongkarnya atas nama kemanusiaan,” katanya.
Katanya, ahli UMNO ternanti-nanti untuk mendapat jawapan berhubung isu kehilangan harta parti itu, yang telah menjadi rahsia umum sejak sekian lama.
Ujar beliau, ketika era Najib, ada usaha untuk membongkar rahsia di sebalik kehilangan harta UMNO itu tetapi mantan Presiden UMNO itu tidak bersetuju didedahkan atas dasar perikemanusiaan. – MalaysiaGazette
Veteran UMNO ni minum KETOM atau TODI? MERAPU dan BERHALUSINASI… jika melibatkan kepentingan AWAM bukan suruh Mahathir JAWAB. buatlah siasatan SPRM PDRM untuk KERTAS PUTIH atau RCI… tak pepasal rakyat cakap UMNO bongok…. dari Lokman Adam Hisham Jalil Ahmad Maslan Pokcik Puad Khaled Nordin hingga TUABANGKA sama taraf biulnya… ZAHID HAMIDI hanya fikir NAK bawa karung je ..
goodbye Zahid Hamidi after PRN 6 NEGERI