Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis yang didakwa menghina anggota polis menerusi video tular telah dipanggil polis untuk membantu siasatan lanjut kes.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, wanita itu sudah dikenalpasti dan dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Insiden itu dipercayai berlaku di Taman Sri Gombak Batu Caves, semalam.

“Pada 15 Jun jam lebih kurang 12 tengahari semasa pengadu berada di kedai makan di Taman Sri Gombak telah datang seorang perempuan yang tidak dikenali.

“Suspek bertindak memarahi pengadu atas sebab membuat bising di rumah jiran. Kemudian suspek telah memperkenalkan diri sebagai penjawat awam (polis) dengan nada suara yang tinggi dan mengatakan ingin menahan pengadu atas alasan pengadu telah membuat bising.

“Suspek kemudian mengugut hendak memukul pengadu dan turut memarahi semua orang yang berada di tempat kejadian pada masa yang sama.

“Suspek juga turut mempersenda pegawai rendah polis dan tidak memberikan kerjasama untuk menunjukkan kad kuasa apabila diminta,” kata Hussein dalam kenyataan yang dikeluarkan di ibu pejabat Kontinjen di Shah Alam hari ini.

Tambah beliau, ekoran daripada kejadian itu, polis telah membuka dua kertas siasatan iaitu laporan oleh pengadu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan ugutan jenayah.

Laporan kedua pula dibuat oleh anggo polis di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan menggunakan perkataan yang kurang sopan, aib atau menghina.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis mendapati terdapat dua buah rakaman video yang tular di media sosial berhubung kejadian tersebut.

Semalam, dua video berdurasi 24 dan 10 saat itu tular di media sosial memaparkan seorang wanita yang berbaju putih lengan panjang menghina anggota berpangkat rendah dan beruniform ketika bertugas di sebuah kawasan kedai makan di Batu Caves. – MalaysiaGazette

Insiden ‘pegawai kanan polis’ hina anggota pangkat rendah disiasat