ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin bercakap kepada media ketika Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang ke-14 Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 MAC 2023.

SUNGAI BESAR – Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati pemimpin setelah mendapat pelbagai nikmat dan kesenangan ketika bersama parti itu sebelum ini.

Exco Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, tindak-tanduk bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu tidak wajar, apatah lagi merendah-rendah dan menafikan peranan gerak kerja parti sambil disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

“Sebagai bekas pemimpin, tidak wajar beliau merendah dan menidakkan parti yang pernah menyanjung dan memberi peluang kepada beliau untuk berkhidmat dalam kerajaan dan ahli Parlimen selama enam penggal.

“Kenyataan Tan Sri Noh yang merendah dan menidakkan kepimpinan serta gerak kerja UMNO-BN, sudah pastinya mengguris dan menyinggung perasaan parti.

“Banyak nikmat beliau dapat dalam kerajaan sebelum ini, ketika menjadi menteri, timbalan menteri.

“Bagi saya kenyataan-kenyataan yang beliau keluarkan sebelum ini tidak wajar dan tidak bertanggungjawab sebagai bekas pemimpin UMNO yang pernah mendapat banyak manfaat daripada parti,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Karnival Perpaduan Dewan Negeri Sungai Panjang di tapak pasar malam Parit 16, Sungai Panjang, di sini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Noh mendakwa beliau satu-satunya bekas pemimpin UMNO yang menjadikan Parlimen Tanjong Karang sebagai kubu kuat UMNO dan BN sejak enam penggal lalu.

Sebaliknya Noh yang dipecat daripada UMNO mahu menguburkan parti Melayu itu dan menjadikan Parlimen Tanjong Karang dan Selangor sebagai kubu kuat Perikatan Nasional (PN) dalam PRN akan datang.

Semalam, Noh yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam PRN kali ini.

Noh berkata, misi beliau kini untuk membantu PN dan memberi laluan kepada muka baharu untuk merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Imran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar menghormati pendirian Noh yang menyatakan tidak mahu bertanding dalam PRN di Selangor, bulan depan.

“Pendirian yang Tan Sri Noh buat itu adalah pendirian beliau, sebagai bekas pemimpin BN, walaupun beliau bukan lagi BN, kita menghormati keputusan dan pendirian yang beliau dibuat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Imran Tamrin ni Pemuda atau BUDAK UMNO? Komen Mat Sangap ni tidak ikut “pembaris pusat”. HQ UMNO kata yang dibuang boleh “bercakap apa sahaja yang benar” jadi Noh Omar “bertanggungjawab” memberitahu kepada rakyat sifat munafik pemimpin dan ahli UMNO. lain kali rajin rajin baca kenyataan SOMBONG BODOH UMNO tu… ok. Sayonara goodbye Zahid Hamidi after PRN 6 NEGERI

Comments are closed.