Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan Kad Pride Pahang Kasih kepada salah seorang daripada 400 penerima di Dewan Tun Razak, hari ini.

KUANTAN – Seramai 30,600 orang penduduk di negeri ini menikmati inisiatif Pahang Pride Kasih pada tahun ini membabitkan peruntukkan sebanyak RM20 juta.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata,  angka tersebut  meningkat berbanding 18,000 penerima pada tahun lalu.

Lebih menarik, kesemua penerima boleh menggunakan Aplikasi Mudah Alih Pahang Pride Kasih secara atas talian bermula tahun ini.

”Tahun lepas kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk 18,000 orang penerima, tetapi pada tahun ini pula, kita naikkan lagi peruntukan Pahang Pride Kasih kepada RM20 juta ringgit yang memberi manfaat kepada 30,600 orang penerima.

”Pahang Pride Kasih ini merupakan inisiatif pelengkap kepada Sistem Kesihatan Kebangsaan sedia ada selain membantu mengurangkan kesesakan yang berlaku di klinik-klinik Kerajaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menerusi inisiatif ini, kerajaan negeri memberikan pilihan tambahan kepada rakyat, khususnya warga emas dan golongan OKU, untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan dengan lebih selesa serta menjimatkan masa di klinik-klinik swasta terpilih seluruh Pahang.

Program yang bermula sejak tahun lalu dan kini mempunyai 70 buah klinik panel di seluruh negeri.

Setiap penerima mendapat RM500 dalam setiap kad.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, aplikasi Pahang Pride Kasih yang diperkenalkan memudahkan penerima mengakses skim kesihatan itu.

”Aplikasi ini adalah nilai tambah yang disediakan kepada sistem portal pahangpridecare.com sedia ada.

”Melalui Mobile Apps Pahang Pride Kasih, penerima boleh menyemak senarai klinik panel, rekod rawatan, jenis ubatan serta baki semasa penggunaan kad yang telah digunakan.

Selain inisiatif Pahang Pride Kasih, kerajaan negeri juga memperkenalkan beberapa lagi program di bawah jenama Pahang Pride atau Kebanggaan Pahang yang dilancarkan pada tahun lalu.

Antarnya Pahang Pride Kid, untuk kita meraikan setiap kelahiran di negeri ini. Menerusi insiatif ini, kerajaan nNegeri telah bersetuju untuk menaikkan pemberian sumbangan daripada RM200 pada tahun lalu kepada RM300 pada tahun ini.

Pahang Pride Student pula inisiatif bagi setiap pelajar untuk menerima Kad Diskaun Pelajar sebanyak 20 peratus bagi setiap pembelian peralatan persekolahan,.

Kerajaan Negeri juga telah melancarkan Pahang Pride Athlete pada tahun lalu, sebagai usaha untuk melahirkan atlet-atlet yang berprestasi tinggi serta berupaya membawa nama negari dan negara ke peringkat sukan antarabangsa.

Tambah Wan Rosdy pihaknya juga memperkenalkan Pahang Pride Orang Asli pada tahun ini sebagai insentif kepada pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Malah katanya, Kerajaan Negeri juga turut memperkenalkan Pahang Pride Achiever sebagai penghargaan kepada anak-anak Pahang yang telah mencatatkan pencapaian yang luar biasa di peringkat antarabangsa.

Secara keseluruhan, sebanyak RM37 juta diperuntukkan untuk menjayakan program Pahang Pride atau program Kebanggaan Pahang pada tahun ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast