Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Program Graduan Pasaran Modal di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan bakat penting untuk masa depan ekonomi negara kerana akan menjadi ramuan penting membenihkan masa depan pembangunan negara menerusi pasaran modal yang kukuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, ia memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas.

Malah ujar beliau, negara memerlukan ketokohan tempatan yang berupaya memahami kerumitan pasaran, menjangka trend dan perubahan serta menyediakan penyelesaian inovatif pada setiap rintangan pasaran termasuk Kewangan Islam.

“Akhirnya, inilah yang mustahak sebagai ikhtiar untuk kita meningkatkan pendapatan rakyat ke tahap lebih bermakna. Secara tidak langsung, maka kehidupan rakyat Malaysia akan lebih berkualiti dan berpendapatan tinggi.

“Usaha seumpama ini juga dapat membantu menangani masalah mismatch antara kemahiran graduan dengan keperluan yang dikehendaki oleh industri.

“Masalah ini telah sekian lama dijadikan alasan kepada wujudnya pengangguran graduan,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rasmi Program Graduan Pasaran Modal yang kini dikenali InvestED di Suruhanjaya Sekuriti hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar turut gembira dengan InvestED kerana seramai 9,000 mahasiswa akan meraih manfaat pendedahan kepada peluang pekerjaan dalam industri pasaran modal dengan 600 orang akan terjamin mendapat pekerjaan dalam masa tiga tahun.

Beliau juga berharap program seumpama itu turut membantu para pelajar daripada keluarga susah supaya mereka tidak tertinggal meraih manfaat peluang pekerjaan yang lebih baik dah ini cukup penting dan selaras dengan hasrat Kerajaan Madani.

“Usaha ini juga tidak harus terhenti di sini sahaja dan sukacita diumumkan kerjasama antara kerajaan badan pengawal selia dan industri dalam program peningkatan bakat seumpama ini akan diperluas dalam sektor termasuk minyakdan gas, perbankan dan teknologi maklumat

“Jika program graduan pasaran modal dapat memanfaat 9,000 anak muda, kerajaan komited untuk melaksanakan peluasan kepada sektor-sektor lain untuk membantu puluhan ribu lagi bakat tempatan baharu.

“Bagi program sebegini, mahasiswa dan pelajar yang mengikuti latihan industri (internship) akan dipastikan mendapat bayaran elaun yang minimum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast