Gambar hiasan

IPOH – Polis Derah Manjung menyiasat kematian seorang pelajar lelaki tingkatan tiga Sabtu lepas setelah dimasukkan ke Hospital Seri Manjung (HSM) pada 16 Jun.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima laporan kematian mengejut pelajar lelaki pada 4.30 petang semalam selepas mengadu tidak sihat di sekolah pada Jumaat.

“Siasatan awal dengan pihak sekolah mendapati pelajar itu dilihat tidak sihat dengan berjalan menggunakan tongkat kerana mengalami kesakitan pada bahagian kaki sebelum menelefon keluarga mangsa untuk dibawa pulang.

“Keluarga pelajar kemudiannya membawa mangsa pulang ke rumah sebelum membawanya ke hospital setelah mendapati keadaan anak mereka semakin teruk. Keadaan mangsa semasa diterima di Jabatan Kecemasan adalah tenat dan diberikan bantuan pernafasan dengan serta-merta dan terus dimasukkan ke wad rawatan rapi bagi penjagaan pakar pada 10.10 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Nordin berkata pihak hospital kemudiannya telah memaklumkan pelajar terbabit meninggal dunia pada pukul 12.06 tengah malam.

“Pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan punca kematian mangsa akibat Alute Massive Pulmonary Embolism atau darah beku tersumbat pada paru-paru.

“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan bagi kes mati mengejut dan kita minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kejadian ini,” katanya.

— BERNAMA