KUALA LUMPUR – Prosiding mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dilihat kembali meriah dengan kehadiran para penyokongnya di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.
Mereka berkumpul sejak pukul 7.30 pagi lagi dan menjerit dan beremosi apabila melihat kenderaan jenis X70 yang membawa Najib masuk ke pekarangan mahkamah dengan laungan ‘Bossku’ ‘Datuk Seri, teruskan berjuang’ dan sebagainya.
Dalam pada itu pagi ini juga turut kelihatan beberapa pemimpin seperti Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan.
Selain itu, keluarga Najib iaitu isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Mohd Nizar juga hadir hari ini.
Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang hadir ke mahkamah pagi ini bagi menyambung prosiding penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Najib juga kelihatan tenang dan sihat serta sentiasa senyum dalam perjalanan ke mahkamah pagi ini.
Untuk makluman, sebelum ini pada Mei lepas, Collin telah menangguhkan prosiding 1MDB selepas Najib mengalami hidrasi dan cirit birit yang memerlukan beliau terus dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama beberapa hari.
Beliau sebelum ini sudah diberikan cuti sakit dua hari namun menyambungnya sehari lagi serta hospital akan terus memantau keadaan kesihatan sebelum dibenarkan pulang ke Penjara Kajang.
Ketika prosiding, Pakar Perubatan Klinikal HKL, Dr Mohd Fadli Zil Ikram Karim yang memberikan cuti sakit kepada Najib juga telah memberi keterangan tentang tahap kesihatan beliau ketika itu.
Collin kemudian menangguhkan perbicaraan ketika itu dan prosiding akan bersambung hari ini dengan pendakwaan memanggil saksi baharu.
Najib ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. -MalaysiaGazette