Muhammad Khalil Abdul Hadi tindakan Israel
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pas Terengganu jauh bergerak lebih maju sejak mengambil alih negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU14) tahun 2018.

Kemajuan dan pembangunan di negeri itu bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar amat luar biasa berbanding dakwaan UMNO kononnya Terengganu mundur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan dakwaan itu sebagai melucukan kerana tuduhan dibuat tidak berdasarkan fakta yang betul.

“Bila ada pemimpin UMNO kata tiada pelaburan di Terengganu, Pas tidak pandai tarik pelabur, ia agak melucukan sebab data atau statistik rasmi menunjukkan sebaliknya.

“Saya tahu kata-kata itu sekadar tuduhan semberono dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi kerajaan negeri dan Pas menjelang pilihan raya negeri nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, secara umumnya ada lima sektor atau industri yang menyumbang kepada pelaburan di Terengganu iaitu pertanian, pembuatan, minyak, gas dan petrokimia, pelancongan dan logistik.

Katanya, sejak tahun 2018, nilai pelaburan di negeri itu menunjukkan trend peningkatan saban tahun iaitu RM210 juta tahun 2018, diikuti RM770 (2019), RM2.950 bilion (2020), RM2.930 bilion (2021) dan RM3.740 bilion (2022).

Selain itu, kata beliau, kos pelaburan yang dibuat oleh anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc. seperti Golden Pharos, Primula Beach Hotel, TDM Berhad, Ladang Rakyat dan beberapa lagi sejak tahun 2018 sehingga sekarang mencecah RM387.05 juta.

Pelaburan itu adalah dalam pelbagai segmen antaranya penjagaan kesihatan (RM178 juta), industri perladangan (RM150 juta) dan infrastruktur serta kejuruteraan (RM40 juta).

Sehingga kini juga ada 10 projek dalam sektor pertanian melibatkan nilai pelaburan lebih RM850 juta. Macam-macam projeklah antaranya lada hitam, benih kerapu, ladang napier, kambing tenusu, nanas MD2, kelapa, lembu semi-feedlot dan durian Musang King,” katanya.

Menurut Muhammad Khalil lagi, nilai pelaburan projek perkilangan di Terengganu bagi tempoh 2018 hingga 2022 pula meningkat lebih sekali ganda berbanding tempoh lima tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette