Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Tiada yang kontroversi mengenai tindakan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mahu berundur sebagai Ketua Polis Negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seorang penjawat awam yang dilantik secara kontrak boleh ditamatkan atau dipendekkan perkhidmatannya pada bila-bila masa.

“Tiada kontroversi. Saya sendiri sebelum ini dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), kemudian diikuti Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan perkara ini diuruskan dengan begitu baik sekali.

“ … saya juga telah bercakap dengan Tan Sri Acryl Sani … dan esok (hari ini) kita akan melakukan majlis serah terima tugas di Pulapol (Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur), jadi tiada apa-apa yang kontroversi,” katanya pada Sesi Eksklusif Editor Media Bersama Menteri Dalam Negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang pelantikan Tan Sri Razarudin Husain sebagai KPN yang baharu menggantikan Acryl Sani berkuat kuasa esok seperti yang diumumkan semalam.

Acryl Sani sebelum ini dilantik sebagai KPN secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa pada 4 Oktober 2021 selepas beliau bersara dan sepatutnya tamat Oktober tahun ini.

Saifuddin juga menafikan pelantikan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara atas kehendak pihak tertentu.

Secara prinsip, menurutnya, sesiapa sahaja pegawai polis yang berpangkat Komisioner Polis (CP) layak untuk dilantik sebagai KPN mahupun Timbalan Ketua Polis Negara.

“PDRM mempunyai seramai 25 pegawai berpangkat CP. Mereka ini ialah kelompok bakat untuk menjawat dua jawatan ini, ketika ini mereka menduduki jabatan-jabatan yang ada di Bukit Aman, menjadi Ketua Polis Negeri atau berada di cawangan khas.

“Pada masa yang sama, kita ada 47 pegawai polis berpangkat Timbalan Komisioner Polis (DCP), inilah bakat pegawai polis yang ada yang akan dilibatkan jika ada penggantian untuk jawatan,” katanya.

Beliau memberitahu, mereka akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria termasuk integriti, kefahaman yang baik tentang keamanaan dan ketenteraman awam, selain pengalaman dan kelulusan akademik. – MalaysiaGazette