Ketua Pegawai Eksekutif Asia Global Entertainment (International) Sdn Bhd, Datuk Mohammad Alif Hakim yang merupakan penganjur utama acara Hoorrey X Fest Raya akan didakwa atas pertuduhan penipuan pembatalan festival raya Hoorray X Fest di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN 23 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan penipuan tapak karnival Aidilfitri dua bulan lalu sedia mempertahankan diri untuk mendapatkan keadilan.

Muhammad Alif Hakim Jamal, 23, menyifatkan pertuduhan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

“Saya hari ini dikenakan pertuduhan dan saya tak mengaku (bersalah) dan dijamin. Bagaimanapun pihak pembelaan saya akan lawan kes ini. Peguam saya akan bertungkus lumus lawan kes ini,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Alif Hakim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan penipuan berhubung penganjuran festival beli-belah Hooray X Fest Raya, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dua bulan lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, Alif Hakim didakwa menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penyewaan tapak Hooray X Fest di WTCKL sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di WTCKL pada 2.34 pagi pada 19 April lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Alif Hakim yang memakai baju kemeja berwarna putih bercorak daun tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 9.25 pagi.

Dalam pada itu, Alif Hakim sedia berdepan dengan pertuduhan lain dalam kes sama.

“Tadi satu pertuduhan melibatkan seorang mangsa. Mungkin ada tuduhan lain saya tak tahu, kita tunggu apa-apa sahaja (pertuduhan baharu) nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tipu penganjuran festival: CEO Hooray X Fest Raya didakwa