Eizlan Yusof (kanan) juga Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof akui terharu dengan penerimaan luar biasa kepimpinan tertinggi Pas sehingga peringkat akar umbi sejak menjadi ahli parti itu seminggu lalu.

“Sejak menyertai Pas bersama-sama Tan Sri (Annuar Musa) minggu lalu, saya merasai sendiri penerimaan mereka yang sangat mengalu-alukan penyertaan kami dengan tangan terbuka.

“Sejujurnya, sebelum membuat keputusan menyertai Pas, saya risau apakah parti itu menerima saya kerana dari bidang hiburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Townhall dan Dialog Muafakat Nasional (MN) Negeri Kedah di Alor Setar hari ini.

Eizlan yang juga Ahli Dewan Tertinggi MN  mengikuti beberapa siri Ceramah Umum Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Kelantan dan Kedah sejak seminggu lalu.

Kehadiran Eizlan ke setiap siri ceramah sebagai memberi sokongan kepada Annuar, namun tidak menyangka beliau turut disambut mesra sebagai ahli keluarga Pas, bukan sebagai figura seni semata-mata.

“Contohnya di Kelantan, saya disambut mesra Datuk Panglima Perang, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula menyifatkan penyertaan saya dan Tan Sri (Annuar) memberi impak besar.

“Malah ketika di Negeri Sembilan, minggu lalu, Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sendiri yang umumkan penyertaan saya ke dalam Pas kepada media,” katanya dalam satu keyataan media.

Susulan itu, Eizlan menyifatkan penerimaan beliau ke dalam Pas memberi semangat dan kekuatan untuk memperkasakan agama dan bangsa untuk bersama-sama parti itu.

Sebelum ini, keputusan pelakon filem Town Mall itu menyertai Pas mendapat pelbagai reaksi dari pemerhati politik dan media tempatan kerana pernah bertanding bawah tiket Parti Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu. – MalaysiaGazette