KUALA LUMPUR – Benarlah kata orang, rezeki tak pernah salah alamat.
Itu yang berlaku kepada selebriti popular tanah air, Didie Alias apabila mendapat tajaan untuk majlis persandingan anak lelakinya pada September depan.
Didie atau nama sebenarnya Nur Fadzilah Ali, 52, melahirkan rasa syukur di atas rezeki yang diterima dan menganggap ia hikmah untuk anaknya.
“Anak-anak saya menjaga arwah bapa mereka, Allahyarham Ridzuan Hashim yang sakit sebelum ini. Ini hadiah buat dia,” katanya yang ditemui pada majlis pembukaan rasmi Temu Jelatek The Event Space di Datum Mall.
Anak lelaki Didie, Muhammad Dhanial yang bernikah pada Mei lalu dengan pasannya Nur Khairunnisa Zulkifli di Sabah akan mengadakan majlis resepsi pihak lelaki pada September depan.

Pasangan itu mendapat tajaan sepenuhnya daripada Temu Jelatek The Event Space melebihi RM500,000.
Sebagai ibu, tiada apa yang mampu diungkapkan, hanya syukur dan terharu di atas tajaan tersebut.
“Kami sekeluarga terkejut sebab tak sangka akan dapat tajaan sebegini mewah.
“Saya juga anggap ini hikmah kepada Dhanial yang menjaga arwah ayahnya ketika sakit hinggalah saat meninggal dunia,” katanya.
Bukan hanya majlis pembukaan rasmi Temu Jelatek The Event Space di Datum Mall malah pada hari sama turut diumumkan tajaan majlis resepsi pasangan berkenaan.
Lebih menarik, pada hari resepsi nanti, pasangan itu akan menaiki tren LRT dari Setiawangsa dan turut di Stesen Jelatek dan terus masuk ke dalam dewan.
Gimik ini sebagai simbolik Temu Jelatek The Event Space ini yang berlokasi di Datum Mall ini sangat mudah diakses.
Tidak hanya itu, Dhanial akan mengenakan busana perkahwinan milik arwah bapanya sebagai pengubat rindu.
“Dhanial jumpa sut itu semasa mereka adik beradik mengemas rumah sewa beberapa hari selepas pemergian arwah. Terlalu banyak kenangan buat mereka sepanjang tinggal di rumah itu dari arwah sihat hinggalah sakit.
“Dhanial pun cakap nak pakai sut tu pada hari bersejarah mereka nanti,” katanya.
Majlis resepsi ini dijadual akan diadakan pada 2 September nanti. -MalaysiaGazette
















