DAP Sarawak state election polls candidates PRN
Gambar Hiasan

PULAU PINANG – DAP Pulau Pinang mengekalkan pendirian asalnya iaitu parti yang telah menang harus diberi peluang untuk mempertahankan kawasan berkenaan selain mempertimbangkan calon berdasarkan peluang kemenangan.

Pengarah Pilihan Raya DAP Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, adalah tidak munasabah untuk parti memberi laluan kepada calon yang hanya mempunyai 10 hingga 20 peratus peluang kemenangan sehingga calon kehilangan deposit.

Beliau berkata, “bottom line” DAP adalah parti itu harus mempertahankan kerusi yang berkemampuan dimenanginya dan tidak akan berunding mengenai kerusi berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, keputusan akhir mengenai pengagihan kerusi masih terletak pada pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Hon Wai bagaimanapun turut menegaskan usaha membentuk kerajaan perpaduan yang kukuh di Pulau Pinang tidak boleh bergantung kepada 19 kerusi yang DAP ada pada masa ini.

“Kami perlu bekerjasama dengan PH dan BN dan memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi.

“Hanya melalui kerajaan yang terdiri daripada tiga kaum utama, barulah pihak berkuasa boleh menumpu perhatian kepada soal ekonomi,” katanya dalam wawancara bersama Nanyang Siang Pau.

Dalam pilihan raya negeri yang lalu, PH memenangi 37 daripada 40 kerusi melalui Bersatu (dua), DAP (19), PKR (14) dan Amanah (dua). BN dan Pas pula masing-masing memenangi dua dan satu kerusi.

Hon Wai berkata, DAP Pulau Pinang mencatat kemenangan di kerusi-kerusi Parlimen dan negeri dengan sokongan lebih 60 peratus dalam pilihan raya umum dan negeri pada 2022 dan 2018.

“Tetapi tidak boleh berkata bahawa kami 100 peratus yakin dan juga tidak bermakna tiada masalah yang akan berlaku.

“Risiko akan timbul jika hala tuju pengundi berubah, walaupun perubahan itu hanya melibatkan 10 peratus pengundi,” katanya.

Menurutnya, DAP perlu memberi perhatian kepada kerusi yang mempunyai ramai pengundi Melayu seperti Tanjong Bunga, Sungai Pinang dan Datok Keramat yang mempunyai lebih 25 peratus populasi Melayu.

“Oleh itu, kami perlu bekerjasama dengan UMNO untuk mendapat sokongan Melayu dan mengelakkan sokongan UMNO beralih kepada PN,” katanya.

Menurutnya, analisis mendapati kekalahan  yang dialami oleh PH di Permatang Pauh, Kepala Batas dan Tasek Gelugor adakah didorong oleh sokongan anggota polis dan tentera yang beralih kepada PN.

“Biasanya golongan polis dan tentera cenderung menyokong kerajaan semasa dan tidak mustahil jika mereka mengundi Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya negeri,” katanya.

Ditanya kemungkinan Chow Kon Yeow akan digantikan dan calon ketua menteri akan ditentukan pusat, Hon Wai berkata, soal pembentukan kerajaan hanya boleh dibincangkan selepas memenangi pilihan raya. – MalaysiaGazette