Yahaya Othman

KUANTAN – Seorang kerani syarikat berputih mata apabila erugian sejumlah RM113,875 setelah terjerat dalam skim pelaburan tidak wujud dalam kejadian di Jerantut.

Ketua Polis Pahang, Datauk Yahaya Othman berkata, suspek telah menawarkan mangsa keuntungan 10 peratus dalam masa 120 saat dengan modal sebanyak RM1,000.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang telah menerima laporan Polis dari Daerah Jerantut berkenaan mangsa terpedaya dengan pelaburan JPEX yang tidak wujud melalui aplikasi Instagram.

“Pada 4 Mei 2023 mangsa seorang perempuan berumur 37 tahun telah berkenalan dengan seorang lelaki warganegara Taiwan di aplikasi Instagram yang mengaku menetap di Malaysia.

“Suspek telah berjanji akan datang ke Malaysia untuk berjumpa dengan mangsa dan menawarkan satu aplikasi JPEX untuk mangsa menjana wang dalam matawang asing USD,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, akibat terpedaya dengan keuntungan yang lumayan, mangsa telah membuat 11 kali transaksi ke enam akaun bank yang berlainan dalam tempoh dua minggu bermula 2 Jun 2023.

“Sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan sendiri dan pinjaman daripada ahli keluarga.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Sesiapa yang ingin membuat pelaburan, boleh membuat semakan atau mendapatkan maklumat dari agensi PDRM dan Bank Negara Malaysia sebagai langkah pencegahan dari menjadi mangsa pelaburan yang tidak wujud. – MalaysiaGazette