ustaz
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, fokusnya hanya membantu memenangkan calon Barisan Nasional (BN) di Terengganu selain, di negeri-negeri yang turut melangsungkan pilihan raya itu.

Kenyataan empunya diri ini sekali gus menolak dakwaan kononnya beliau akan dipilih sebagai calon Menteri Besar Terengganu sekiranya, BN menang di negeri tersebut nanti.

“Saya tak akan bertanding dalam PRN kali ini, walaupun ada disebarkan berita saya bakal Menteri Besar (BN), itu tak berbangkit kerana saya tak berhasrat bertanding dalam PRN kali ini.

“Sebaliknya, fokus utama saya adalah untuk membantu kemenangan BN dan UMNO di Terengganu serta negeri-negeri yang lain.

“Ini adalah pilihan politik (tidak mahu bertanding) dan biasa bagi orang politik, mahu partinya menang dalam pilihan raya,” katanya menerusi satu klip video yang dimuat naik di Tik Tok.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohd Khairuddin yang bertanding atas tiket BN, gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus yang disandangnya.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu turut mengumumkan menarik diri daripada menjadi ahli Pas pada Mac tahun lepas.

Baru-baru ini, Mohd Khairuddin yang merupakan bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi disebut-sebut akan bertanding mewakili BN pada PRN di Terengganu dan menjadi calon menteri besar.

Dua lagi nama yang dikatakan akan bertanding ialah bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Parlimen Kemaman) dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (Parlimen Hulu Terengganu).

Bagaimanapun, Ahmad Shabery sudah mengesahkan beliau tidak akan bertanding. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast