Seramai 77 individu termasuk 66 orang warga tempatan yang ditahan reman disyaki tipu forex dilanjutkan reman sehingga Isnin depan.Ihsan IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Tempoh reman 77 ahli sindiket yang ditahan polis pada Khamis lalu kerana terlibat dalam penipuan pertukaran mata wang asing dilanjutkan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor yang dihubungi MalaysiaGazette petang tadi mengesahkan tempoh reman dilanjutkan selama dua hari lagi.

“Selepas diberkas pada Khamis lalu kesemua suspek yang terdiri daripada 66 orang warga tempatan dan 11 warga asing telah direman selama dua hari sejak semalam (Jumaat) sehingga 24 Jun 2023 (hari ini).

“Polis mengemukakan permohonan perintah sambung reman ke atas mereka untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 77 terlibat dalam penipuan forex ditahan

Siasatan dibuat bawah Seksyen 420/120 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahannya.

Dalam pada itu, kesemua individu terbabit diwakili oleh peguam Navin Punj dan Gabriel Susayan daripada firma guaman Gabriel Susayan And Partners.- MalaysiaGazette