Azmin Ali

 

Artikel ini ditulis pembaca MalaysiaGazette

BAHANG pilihan raya negeri (PRN) semakin dirasai dan percaturan politik menjelang hari mengundi serta persediaan pasca-pemilihan mulai rancak. Pemerhati politik kini memberi tumpuan kepada Selangor dan Negeri Sembilan yang mana pertembungan sengit di antara pakatan Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) dijangka berlaku.

Antara persoalan yang hangat dibincangkan adalah calon menteri besar untuk kedua-dua negeri sekiranya PN dapat merampas kuasa dari Pakatan Harapan.

Baru-baru ini, Pas Selangor telah memberi reaksi dingin kepada cadangan agar pemimpin Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali dijadikan poster boy untuk pilihan raya PN di negeri itu, sekaligus diangkat sebagai calon MB jika gabungan parti-parti pembangkang itu menang kelak.

Calon parti mana yang lebih layak untuk dijadikan poster boy untuk PN? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu menyingkap sejarah politik tanahair dan penubuhan PN yang telah menjadi gagasan yang disegani.

Pertamanya, sejak penubuhan PN, Bersatu merupakan parti tunjang. Pengerusi PN adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri ke-8 yang juga pengerusi Bersatu. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, juga merupakan ahli Bersatu.

Mengikut hierarki dan kebiasaan amalan politik, keputusan calon MB sesebuah negeri sepatutnya ditentukan oleh pengerusi gabungan parti-parti. Amalan ini digunapakai di Barisan Nasional mahupun di Pakatan Harapan.

Justeru, mengikut amalan politik, Muhyiddin patut diberi budi bicara untuk menentukan calon MB. Dilihat secara total, Pas kini memerintah di Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perlis manakala Bersatu tidak menerajui mana-mana negeri. Seelok-eloknya, Bersatu, sebagai parti tunjang PN, diberi mandat untuk memimpin Selangor dan Negeri Sembilan sekiranya ia menang kelak.

Hujah bahawa Pas mempunyai lebih kerusi Parlimen, yakni patut diberi keutamaan tidak boleh digunapakai. Contohnya, di dalam Pakatan Harapan, DAP mempunyai lebih kerusi Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat, tetapi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR.

Kedua, jika kita kaji sejarah politik negeri-negeri seperti Selangor dan Negeri Sembilan, calon Bersatu mempunyai kelebihan untuk diangkat sebagai MB, berbanding dengan PAS. Di Selangor umpamanya, Azmin merupakan Menteri Besar dari 2014 hingga 2018.

Beliau mempunyai pengalaman luas tentang pentadbiran Selangor dan lebih dikenali di kalangan pengundi di seluruh negeri. Azmin memahami keperluan dan cabaran dalam mentadbir negeri ini dengan baik. Mencalonkan Azmin sebagai poster boy sekali gus menjadikan PN lebih relatable berbanding pemimpin Pas.

Sebab ketiga mengapa calon MB harus datang dari Bersatu adalah kerana komuniti bukan Islam di negeri Selangor dan Negeri Sembilan lebih selesa dengan parti itu berbanding Pas. Jika poster boy datang dari PAS, undi bukan Melayu untuk PN akan berkurangan.

PRN kali ini amat getir. Walaupun sokongan Melayu kepada PN sekarang agak memberangsangkan, ia masih memerlukan sebanyak mungkin undi bukan Melayu untuk merampas negeri-negeri tersebut. Oleh itu, pemilihan calon MB daripada Bersatu akan dapat bantu meraih undi bukan Melayu dan memberikan kelebihan kepada PN dalam merebut negeri Selangor dan Negeri Sembilan.

Kesimpulannya, Bersatu mempunyai hak yang jelas untuk menentukan calon Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan jika PN berjaya menang dalam PRN nanti. Namun polemik ini tidak patut dipanjangkan kerana ia boleh menjejaskan peluang keemasan PN untuk merampas kedua-dua negeri tersebut.

Mohd Hilmi Abdul Latiff
Sepang, Selangor

 

Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette