Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemborong-pemborong beras mendakwa sudah mendapat surat daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai kenaikan harga borong beras tempatan (super spesial tempatan – SST) kepada RM2,250 bagi satu metrik tan.

Sumber memberitahu, surat yang bertarikh 16 Jun 2023 itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Bahagian Pembangunan Industri Padi, Datuk Azman Mahmood.

“Secara logiknya, kalau kenaikan harga borong (beras) sudah diberikan kepada pemborong, bermakna pengguna juga bakal berdepan dengan kenaikan harga beras. Cuma tunggu masa sahaja.

“Kalau tidak, keuntungan pemborong, pembekal, peruncit akan merosot,” kata sumber yang menghubungi MalaysiaGazette.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Urusan Pasar Raya Besar Mydin yang memberitahu harga runcit bagi beras putih import 10kg akan naik sekurang-kurangnya RM1 bulan depan.

Menurut Datuk Ameer Ali Mydin, perkembangan ini menyusuli kenaikan harga antara RM1 dan RM2 sekampit bagi berat putih import bulan lepas.

Ameer juga berkata, pembekal sudah mula menjual beras putih tempatan, 5% “Super Spesial Tempatan” pada RM12.80, meningkat daripada RM12.50 untuk beras 5kg, bagi mengurangkan keuntungan peruncit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengulas kenyataan Ameer berkata, pihaknya masih belum ada keputusan daripada kerajaan tentang harga beras pada masa ini.

Namun, kementeriannya bersedia menghadapi sebarang kesan akibat cuaca panas termasuk berhubung harga beras.

Salahuddin berkata, pihaknya dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini kemudian, setelah bertukar nota.

Mengulas lanjut, sumber percaya, penjelasan kenaikan harga beras tempatan akan dibuat selepas perintah harga kawalan beras dipinda oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak lama lagi.

“Beberapa proses dalaman perlu dibuat sebelum perubahan harga beras tempatan ini diumumkan, tetapi harga pasti naik. Tidak logik pula pemborong beli mahal, pengguna dapat harga yang sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, sumber yang terlibat dalam industri beras negara turut mengesahkan akan berlaku perubahan beras tempatan, hanya menunggu masa sahaja.

“Dalam keadaan semasa, semua barang naik dan beras adalah barang keperluan yang terakhir naik.

“Kejatuhan ringgit turut menjadi faktor kenaikan ini, mengambil kira 60 peratus beras negara diimport,” ujarnya namun enggan mengesahkan harga baharu beras tempatan.

Pada masa ini harga beras tempatan yang kekal sekitar RM2.60 sekilogram.

“Kalau ia naik, harga baharu (kenaikan) tidak melepasi lebih RM1,” ujar sumber tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kalau harga beras naik, harga nasi lemak RM2 pun akan naik. menu rahmah 5 ringgit mungkin sudah tidak jadi 5 ringgit lagi kecuali kena kurangkan saiz.

Comments are closed.