KUALA LUMPUR – Seramai 30 usahawan dalam pelbagai kategori menerima anugerah Best Business Award 2023 dalam satu majlis Anugerah Perniagan Terbaik Malaysia (MBBA) yang diadakan semalam.
Progam tersebut diadakan bagi meraikan golongan usahawan secara individu mahupun syarikat yang berjaya agar terus bangkit meneruskan perniagaan mereka ketika dunia dilanda situasi ekonomi getir, namun mereka terus berjuang bagi memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.
Pengerusi MBBA, Shahir Adnan berkata, pihaknya menerima sebanyak 100 pencalonan namun, hanya 30 usahawan sahaja yang layak untuk menerima anugerah berprestij tersebut berdasarkan standard dan merit yang ditetapkan oleh juri daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Media Home Communication.
“MBBA merupakan satu pengiktirafan peringkat nasional bagi keseluruhan usahawan di negara kita yang terbukti berjaya mengharungi cabaran perniagaan selain ketidak tentuan ekonomi dunia.
“Malah, pengiktiran tersebut membuktikan mereka mampu bersaing dengan syarikat-syarikat terkemuka lain lantas mampu mengembangkan perniagaan mereka ke persada dunia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
MBBA adalah penanda aras bagi kecemerlangan semua usahawan di dalam dan luar negara yang sekaligus membuktikan bahawa sektor perniagaan dan keusahawanan negara tetap berkembang maju walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Buat julung kalinya, dua anugerah khas turut diberikan kepada artis terkenal tanahair, Datuk Khadijah Ibrahim (Outstanding Lifetime Celebrity Award) dan Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin (Outstanding Lifetime Business Leadership Award) atas sumbangan mereka dalam memperkasakan perniagaan di negara ini. – MalaysiaGazette















