Deretan kontena yang memenuhi dermaga Westport, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 14 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) — Eksport Malaysia diunjur mencecah US$425 bilion (US$1=RM4.68) menjelang 2030 pada kadar pertumbuhan tahunan 6.8 peratus, kata Standard Chartered.

Malaysia dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan perdagangan global yang dijangka mencecah US$32.6 trilion dengan kadar pertumbuhan lima peratus menjelang 2030, kata bank itu dalam satu kenyataan bersempena dengan penerbitan laporan penyelidikannya yang bertajuk ‘Future of Trade 2023: New Opportunities in High-Growth Corridors’.

Standard Chartered berkata, koridor perdagangan yang bertempat di Asia, Afrika dan Timur Tengah dijangka mengatasi kadar pertumbuhan perdagangan global sehingga empat mata peratusan, memacu volum perdagangan di rantau ini kepada US$14.4 trilion dan menyumbang 44 peratus daripada perdagangan global menjelang 2030.

“Bagi Malaysia, koridor eksport ke India, Indonesia dan Vietnam adalah antara yang paling pantas berkembang,” katanya.

Eksport Malaysia ke India diunjur mencecah US$18 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan gabungan (CAGR) sebanyak 10.1 peratus pada 2030, diikuti Indonesia (US$12 bilion; sembilan peratus) dan Vietnam (US$13 bilion; 8.7 peratus).

Berdasarkan laporan itu, Standard Chartered berkata, Malaysia akan melabur untuk mengukuhkan sektor dan infrastruktur eksport utamanya, dengan pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Laluan Rel Pantai Timur yang menghubungkan pantai barat dengan pantai timur, menjadi inisiatif utama naik taraf prasarana.

Bank itu berkata, sektor jentera dan elektrik negara dijangka menyumbang 53 peratus daripada bahagian eksport pada 2030 dengan CAGR 2021-2030 sebanyak 6.8 peratus, diikuti logam dan mineral (19 peratus; 5.9 peratus) serta pertanian dan makanan (enam peratus; 9.2 peratus).

Ketua serantau anak syarikat global bagi Asean dan ketua negara bahagian korporat, komersil dan institusi Standard Chartered Malaysia, Patricia Wong berkata, pertumbuhan perdagangan Malaysia yang kompetitif didorong oleh beberapa faktor, terutamanya hubungan perdagangan yang kukuh dengan pasaran utama.

“Dengan keupayaan perdagangan negara dijangka diperkukuh susulan peningkatan dalam infrastruktur logistik, rangkaian luas bank ini memberikan manfaat yang besar sebagai pintu masuk di tengah-tengah laluan perdagangan global yang menghubungkan Malaysia ke dunia,” katanya.

Selain itu, Standard Chartered berkata penyelesaian kewangan rantaian bekalan digital dijangka menjadi pembawa perubahan dalam senario pertumbuhan perdagangan global.

“Menjelang 2030, peningkatan penggunaan penyelesaian kewangan rantaian bekalan digital boleh memacu eksport sebanyak 7.5 peratus dalam 13 pasaran yang ditinjau, peningkatan sebanyak US$791 bilion.

“Penyelesaian kewangan rantaian bekalan digital juga boleh membantu memacu inklusi kewangan dan penyertaan lebih besar bagi perusahaan kecil dan sederhana, membantu syarikat mematuhi kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta mengurangkan risiko penipuan dan kos pemantauan,” katanya.- BERNAMA