PBM wanita Larry
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Datuk Zuraida Kamaruddin menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara berseloroh mahu meminta nombor telefon seorang pelajar perempuan tingkatan 6 adalah satu perkara yang memalukan.

Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak profesional tetapi amat menakutkan kerana datangnya daripada seorang pemimpin negara.

Seorang perdana menteri sewajarnya menjaga decorum dan etika dalam menghadiri majlis-majlis yang melibatkan umum dan tidak seharusnya bersikap seperti seorang lelaki tua miang yang tidak beradab, tegasnya.

“Wanita Malaysia secara amnya telah berjuang untuk mengangkat martabat negara dalam pelbagai bidang dan seharusnya dihormati sebagai tulang belakang pembangunan negara.

“Tindakan perdana menteri ini secara langsung telah menjatuhkan martabat wanita Malaysia dan seolah-olah telah membawa negara ini kepada zaman jahiliah yang memandang wanita hanya sebagai objek semata-mata.

“Sebagai seorang ibu, saya juga risau dengan perkembangan ini, kerana jika seorang perdana menteri menunjukkan sikap sebegini di dalam satu forum di hadapan khalayak ramai, apakah nasib anak muda wanita di negara ini yang ingin terlibat secara langsung dalam program-program diskusi terbuka lain yang dianjurkan oleh pihak kerajaan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam satu sesi town hall di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan Sabtu lalu, seorang pelajar perempuan tingkatan 6 SMK Tunku Ampuan Durah telah bertanya dua soalan iaitu mengenai kejatuhan mata wang ringgit Malaysia dan juga mengenai peranan belia dalam pembangunan negara.

Anwar berkata, beliau bangga dengan pelajar berkenaan kerana soalannya yang begitu kemas.

“Kalau saya muda saya sudah minta nombor telefon,” seloroh Anwar yang memuji pelajar tersebut ketika bertanya soalan kepadanya.

Jawapan Perdana Menteri mendapat sorakan pelajar yang terhibur dengan kata-kata yang dilemparkan Anwar.

Zuraida mempersoalkan adakah anak-anak perempuan kita akan dinilai hanya dengan rupa paras mereka dan bukannya tahap pemikiran dan kebijaksanaan mereka dalam perbincangan mengenai sesuatu perkara.

Lantaran itu, Anwar, katanya, wajar memohon maaf dan segera membetulkan perkara ini sebelum ianya dianggap sebagai satu norma baharu dalam pemerintahan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Waahh!!!.. bagai tiada isu lain kah Pn
    Zuraida??.. langsaikan keputusan mahkamah bayaran 10 juta tu??.

Comments are closed.