KUALA LUMPUR — Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dicabar menonjolkan taringnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, keputusan MUDA untuk bergerak ‘solo’ membuka peluang kepada parti itu bagi membuktikan sokongan rakyat terhadapnya.

“Bagi saya ini satu peluang untuk membuktikan bahawa MUDA berkemampuan untuk memenangi di atas diri dia sendiri.

“Sebelum ini kalau kita lihat, pada PRN Johor dia menang kerana kerusi DAP yang diberikan kepada MUDA. Begitu juga mereka menang di Muar kerana mereka bersama Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

“Jadi ini peluang untuk MUDA buktikan bahawa mereka betul-betul dapat sokongan orang muda dan sokongan rakyat. Saya cabar mereka bertanding,” katanya selepas majlis Pelancaran dan Flagoff Glowbox sempena Hari Usahawan Negara 2023, di Wangsa Maju di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat akan menentukan kedudukan MUDA dalam arena politik selepas PRN nanti.

“Biar rakyat tentukan. Orang hebat macam Tun Dr Mahathir Mohamad pun bila partinya (Parti Pejuang Tanahair) bertanding di 142 kerusi, tiada satu kerusi pun dia menang, dan tiada datu kerusi pun dapat pulangan deposit pilihan raya,” selorohnya.

Sebelum ini media melaporkan MUDA memutuskan akan masuk gelanggang secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Menurut presidennya, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, keputusan itu dicapai secara konsensus kerana pihaknya tidak diundang untuk mesyuarat pembahagian kerusi di pihak Pakatan Harapan (PH).

“Selepas bincang, MUDA buat ketepatan berdasarkan pada konsensus parti untuk bertanding di PRN atas kekuatan sendiri,” ujarnya dalam sidang media khas di Petaling Jaya hari ini. – MalaysiaGazette