Foto Instagram Amylea.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lirik Amylea Azizan kesal dengan tindakan seorang netizen yang membuat tuduhan tidak benar kononnya dia menyimpan minuman keras di rumah.

Menurut Amylea, 36, tuduhan itu merupakan satu fitnah yang berat dan menuntut individu berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Orang ini menuduh saya ada arak di dalam peti ais rumah saya. Masya Allah, dia respond kepada satu artikel yang menulis tentang saya yang tidak pernah minum arak.

“Kepada siapa yang kenal dengan orang ini, saya beri masa untuk dia tampil buat permohonan maaf kepada saya sebab saya tidak akan maafkan dosa fitnah dan cuba menyebarkannya,” tulis menerusi Instastory miliknya di sini.

Menerusi komen yang dipaparkan itu, individu berkenaan menuduh penyanyi lagu Melepaskanmu ini menyimpan minum beralkohol di dalam peti ais rumahnya.

Bukan tuduhan itu sahaja, seorang lagi netizen turut menulis komen mendakwa Amylea dibesarkan di sebuah kelab malam.

“Saya juga mahu individu ini untuk meminta maaf kepada ibu saya, dan saya bersimpati pada dia kerana tidak berpeluang untuk meminta maaf kepada arwah ibu saya.

“Sebelum bercakap awak kena faham apa yang mereka telah lakukan untuk membesarkan saya dan apa yang ayah dan ibu saya ikhtiarkan selepas itu untuk menjauhkan mereka dari terus berkerja di situ dan berjaya,” kongsinya.

Tambah Amylea, individu berkenaan sepatutnya mengambil pengajaran daripada kisah hidupnya dan bukan sekadar mencari keburukan semata-mata.

Malah dia juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap individu berkenaan.

“Kenapa tidak melihat kebaikan dan pengajaran tentang cerita saya, tapi hanya mencari keburukan. Adakah semua datang dari dunia yang tidak cerah akan berakhirnya gelap? Dan yakinkan kamu dibesarkan tidak diuji begini akan diterima ibadahnya.

“Siapa kamu untuk berkata begitu lagi sekiranya Allah menerima taubat?

“Saya masih berfikir untuk saman fitnah ini tapi saya beri masa untuk diri saya dan orang ini untuk muhasabah. Semoga Allah beri jawapan yang terbaik. Dia patut tahu dia boleh lukakan hati saya tapi bukan ibu saya,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette