KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Petaling Jaya dekat sini hari ini membebaskan 17 lelaki didakwa melakukan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada 2018.
Mahkamah memutuskan untuk membebaskan kesemuanya tanpa memanggil mereka membela diri selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan sebarang unsur tuduhan.
Majistret Iskandar Zainol memutuskan demikian atas beberapa alasan termasuklah tidak ada pengenalpastian positif tertuduh-tertuduh ketika sesi pengecaman di kandang tertuduh ketika prosiding sebelum ini.
Kata beliau, pendakwaan juga tidak mengemukakan sebarang senjata sebagai bahan ekshibit seperti pisau walaupun ianya ada dinyatakan dalam kertas pertuduhan.
Iskandar turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan kepada semua tertuduh.
Semua tertuduh berusia antara 24 hingga 47 tahun itu didakwa merusuh dan memiliki senjata berbahaya antara pukul 2 hingga 5 pagi pada 26 November 2018.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Untuk makluman, insiden itu turut meragut nyawa seorang anggota bomba, Adib Kassim yang cedera di tempat kejadian sebelum meninggal dunia di Institut Jantung Negara.
Mahkamah koroner memutuskan kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali pada 2019.
Tahun lalu, bapa Adib, Kassim Abdul Hamid menarik balik permohonan komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas melibatkan kenyataannya berhubung prosiding inkues berkenaan.
Kassim memfailkan permohonan komital terhadap Thomas kerana didakwa menghina mahkamah apabila memfailkan afidavit pada 3 April 2019 yang menunjukkan kematian Adib bukan diakibatkan kecederaan oleh seseorang.
Kassim turut menuduh Thomas menghina mahkamah apabila mengeluarkan kenyataan media pada 28 Mei 2019 ketika inkues masih berlangsung. – MalaysiaGazette
















