MPKB-BRI pakaian sopan
Gambar pekerja wanita yang dikompaun seperti ditularkan pemilik akaun Facebook Sunny See Yeap Seng.

KUALA LUMPUR – Wanita MCA meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memperjelaskan definisi pakaian sopan seperti yang dikuatkuasakannya.

Ketuanya, Wong You Fong berkata, mungkin masih ramai yang tidak memahami maksud pakaian sopan seperti yang dinyatakan dalam undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan itu.

“Jadi, adalah lebih baik sekiranya pihak yang berkaitan memperincikan secara jelas mengenai perkara tersebut iaitu definisi pakaian sopan dan pakaian tidak sopan.

“Ini penting demi memastikan tidak timbul persepsi bahawa anggota penguat kuasa menyalahgunakan kuasa mereka ketika bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu kompaun yang dikenakan oleh penguat kuasa MPKB-BRI terhadap seorang pekerja wanita bukan Islam di sebuah premis menjual pakaian di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

Wanita MCA
Wong You Fong

Wanita terbabit dikenakan kompaun atas kesalahan memakai pakaian kurang sopan dan isu tersebut seteruskan ditularkan oleh pemilik akaun Facebook, Sunny See Yeap Seng.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin dalam kenyataan media semalam mempertahankan tindakan kompaun itu, selaras dengan Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.

Pada masa yang sama, You Fong memberitahu, Wanita MCA berpandangan terdapat keperluan untuk kerajaan  Kelantan pimpinan Pas memastikan anggota penguat kuasa menjalankan tugas dengan baik demi menjamin hak rakyat bersandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menambah, langkah itu dapat mengelakkan daripada berlaku diskriminasi terhadap mana-mana kaum di negara ini.

“Apa yang berlaku ini juga menuntut Pas membuktikan bahawa parti itu turut menjaga kebajikan orang bukan Islam, seperti kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 30 Januari 2019 yang berkata, keadilan bukan hanya untuk orang Islam sebaliknya bukan Islam juga dibela Pas,” jelasnya.

You Fong berharap kesilapan dan kelemahan berkaitan isu tersebut demi kepentingan bersama dan bukannya bertindak sehingga dilihat menafikan hak orang lain. – MalaysiaGazette