Saifuddin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia mengenai pekerja asing kali ke lapan di sebuah hotel di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Muhd Zainul Asri Mohd Romli didakwa telah terkhilaf dalam ucapan apabila menyebut berkenaan ‘musuh Allah’.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh polis selepas Muhd Zainul dipanggil memberikan keterangan susulanĀ  laporan dibuat berhubung perkara tersebut.

Katanya, Muhd Asri Zainul telah memberitahu polis bahawa dia teruja melihat kehadiran ramai pengunjung pada program berkenaan sehingga menyebut perkataan itu.

“Saya dimaklumkan oleh pihak polis bahawa Ustaz Zainul Asri telah dipanggil dan dalam pertemuan awal beliau dengan polis, beliau mengakui kesilapan mengungkapkan kalimah itu.

“Dia kata dia teruja kerana ramainya orang yang hadir pada malam itu. Jadi, dia pun kata telah melakukan kesilapan dengan mengungkap bahawa pertahan Kedah daripada ‘musuh Allah’.

“Di Malaysia ini siapa musuh Allah? Kita nak pilih kerajan negeri je. Itulah, sebab itu saya menggesa polis teruskan siasatan sebab kertas siasatan telah dibuka kerana telah ada aduan,” kata Saifuddin.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia mengenai pekerja asing kali ke lapan di sebuah hotel di sini hari ini.

Semalam media, melaporkan Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap Zainul Asri berikutan ucapannya ketika Himpunan Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman pada Sabtu lalu.

Laporan polis berkenaan dibuat Ketua Biro Mobilisasi Pusat Media PH, Kapten (B) Muhammad Yahaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara.

Ia dibuat susulan ucapan Zainul Asri yang menyebut semoga Allah mempertahankan Kedah daripada jatuh ke tangan ‘musuh Allah’.

Muhammad berkata, ungkapan berbaur propaganda berkenaan seolah-olah menggambarkan hanya Pas dan Perikatan Nasional (PN) sahaja bersama Allah manakala parti lain adalah ‘musuh Allah’.

Beliau turut mendakwa ungkapan itu dibuat ketika negeri berkenaan sedang bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya negeri dan dilihat amat tidak sihat serta boleh menyemai perasaan benci dan ekstremisme kepada rakyat.

Bagaimanapun, Muhd Zainul Asri menerusi rakaman yang dimuat naik di Facebooknya menafikan ucapannya itu ditujukan kepada individu mahu pun parti politik tertentu.

Sebaliknya, beliau berkata, ucapannya yang menyebut ‘semoga Allah mempertahankan Kedah daripada jatuh ke tangan musuh Allah’ adalah ditujukan kepada golongan seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasutian berkata, perkara-perkara seperti itulah yang ditekankan oleh beliau di Parlimen beberapa minggu lepas agar golongan agamawan tidak sewenang-wenangnya menggunakan kedudukan untuk berkata apa sahaja.

Katanya, kempen pilihan raya harus dibendung terutama yang melibatkan golongan agama agar masyarakat tidak mudah terpengaruh sepeti Melayu yang konservatif.

“Siapa yang kata tak betul tu..Saifuddin mana ada jubah, serban pun dia tak pakai…yang sebut ni ustaz dia ada jubah, serban semua, ini masalah.

“Kalau pada orang Melayu yang konservatif, dia akan beri perhatian lebih kepada yang ustaz sebut…jadi yang menteri KDN sebut ni tak boleh pakai takda autoriti (tauliah).

“…jadi, bila ada aduan itu dibuat ustaz itu mengaku silap, ini satu contoh yang saya gesa supaya dielak biarlah pilihan raya ini kita lawan polisi lawan polisi.

“Kalau kedah tu polisi nak selesaikan bekalan air, kita tawarkan kalau pilih kita kita boleh selesaikan masalah air..itu contoh. Jangan masuk dalam territory yang distructive (merosakkan) macam itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zainul Asri nafi tuju ucapan ‘musuh Allah’ kepada parti politik