Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Meskipun pemakaian pelitup muka tidak lagi akan diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan bermula 5 Julai ini namun majoriti rakyat sudah terbiasa dengan norma baharu itu.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati majoriti berpendirian pelitup muka perlu dipakai khususnya di tempat berisiko.

Namun dalam masa yang sama, mereka sedar ia merupakan langkah pencegahan kendiri.

Bagi Akmal Aziz, 50, norma baru rakyat di negara yang hidup dengan Covid-19 seperti negara ini perlu tahu bila dan di mana mereka perlu memakai pelitup muka.

Ujar beliau, sekiranya berada di kawasan yang tertutup – beliau masih mahu memakainya.

Sehubungan itu, katanya, penting untuk sentiasa membawa pelitup muka ke mana-mana meskipun tidak memakainya.

“Sebahagian boleh jadi rasa selamat dan sebahagian lagi tidak. Tapi saya rasa kalau di kawasan tertutup lebih baik pakai, kita tidak tahu siapa yang dalam kawasan begitu.

“Ini adalah norma baru jadi cara kita kendali keselamatan diri sendiri itu penting. Kalau di pengangkutan awam tapi rasa selamat pakailah. Sentiasa bawa ke mana-mana,” katanya.

M. Pavitra, 37, pula menyifatkan pemakaian pelitup muka sudah menjadi tanggungjawab individu untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, jika enggan merisikokan orang lain atau diri sendiri ketika berada di dalam pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan  sebaiknya untuk memakainya meskipun sudah ada kelonggaran. 

“Sebagai rakyat tanggungjawab kita melakukan langkah pencegahan. Kalau nak pakai demi keselamatan diri tiada masalah kalau berada di kawasan ramai orang pakailah.

“Kalau pergi ke hospital contohnya, saya akan pakai, untuk pencegahan diri sendiri. Kalau tidak sihat pastikan pakai pelitup muka jangan dedahkan kepada orang lain kan,” ujarnya.

Begitu juga dengan Norhayati Mohd Isa, 57, yang sependapat dengan Pavitra yang pemakaian pelitup muka kini dilihat sebagai tanggungjawab individu.

“Sebenarnya saya tidak ada masalah untuk tidak lagi memakai pelitup muka tapi kalau macam saya rasa tidak sihat saya akan pakai.

“Itu atas tanggungjawab individu tapi untuk kita kembai kepada tidak lagi memakai ia tidak ada masalah bagi saya,” tambahnya.

Namun berlainan pula dengan Abu Musa Hamidi, 25, yang masih mahu memakai pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam khususnya fasiliti kesihatan sebagai usaha pencegahan.


“Kita tidak tahu sebab Covid-19 masih ada dalam komuniti kan jadi bagi saya, saya pakai bila menaiki pengangkutan awam sebagai langkah berjaga-jaga bukan hanya kepada diri tetapi untuk orang sekeliling saya.

“Kalau ke fasiliti kesihatan saya lebih tekankan untuk pakai, lagi penting sebab risiko tinggi,” katanya.

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan kelonggaran berkenaan atas  berkuat kuasa 5 Julai.

Ia merupakan kelonggaran terbesar terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sejak Malaysia memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April tahun lalu.- MalaysiaGazette