Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP di Ibu Pejabat DAP hari ini. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN – DAP akan menampilkan beberapa muka baharu sebagai calon parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka Ogos ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata senarai penuh calon dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu ini.

DAP negeri memiliki 11 kerusi DUN di Negeri Sembilan.

“ Bukan semua penyandang akan dicalonkan semula kerana ada yang bersara bagi laluan kepada calon baharu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatakuasa Negeri DAP, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Loke, yang juga Pengerusi DAP negeri, tidak mengesahkan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Chennah pada PRN nanti.

Dalam pada itu, katanya, DAP negeri ini juga bersedia bersama parti komponen lain untuk mempertahankan 20 kerusi dimenangi Pakatan Harapan (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan membantu kempen calon dari parti komponen lain.

Loke berkata parti itu menawarkan sokongan dan akan berkempen untuk calon BN.

“Secara peribadi, saya telah menyampaikan kepada Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat), saya akan turun berkempen di Rantau untuk Tok Mat,” katanya.

Mohamad merupakan Ahli DUN Rantau selama empat penggal.

DUN Negeri Sembilan. yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada PRN. Pada PRU14, PH dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menguasai 20 kerusi iaitu DAP dengan 11 kerusi, PKR (enam) dan Amanah (tiga).

BN pula memenangi 16 kerusi dengan 15 daripada dimenangi UMNO manakala MIC, satu.- BERNAMA