KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Terengganu telah memfailkan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak untuk membatalkan dan menolak petisyen yang mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).
Calon BN yang bertanding di kawasan Parlimen Marang, Jasmira Othman memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Pilihan Raya membuat keputusan mengekalkan kemenangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada minggu lepas.
Beberapa hari lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said mengarahkan rayuan dikemukakan dalam masa terdekat di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, Datuk Hassan Abdul Ghani.
Hassan memutuskan petisyen yang dimohon Jasmira gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Dengan keputusan itu, Abdul Hadi kekal sebagai Ahli Parlimen Marang.
Selain itu, Jasmira turut diperintahkan membayar kos RM50,000 kepada Abdul Hadi.
Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Petisyen membabitkan tiga kawasan Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Difahamkan petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Pada PRU15, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab. Shukur dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr. Zarawi Sulong.
Abdul Hadi memperolehi 73,115 undi, Jasmira memperoleh 31,386 undi, Azhar mendapat 4,410 undi manakala Zarawi daripada parti Gerakan Tanah Air (GTA) memperolehi 427 undi. – MalaysiaGazette
















