KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pembukaan pendaftaran untuk Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 dan 29 Ogos ini.

TNB dalam satu kenyataan berkata, persidangan itu bakal mengupas tuntutan masyarakat antarabangsa yang terus mencari kehidupan lebih sejahtera melalui pembangunan mampan tenaga, pengangkutan dan perbandaran.

Ia ekoran dua pertiga manusia dunia dijangka mendiami kawasan bandar menjelang 2050.

“Para pemimpin tempatan dan antarabangsa, pakar, pemain industri, penggubal dasar dan komuniti akan berhimpun untuk merumuskan penyelesaian dan strategi, merangsang
perubahan bermakna serta mempercepatkan peralihan tenaga yang berkesan.

“Tempoh dua hari itu dijadualkan sarat dengan sesi percambahan minda dan mencerna pemikiran serta idea mengenai dasar tanpa sempadan, teknologi dan keupayaan yang diperlukan oleh peralihan tenaga serantau,” kata syarikat utiliti negara itu.

TNB menambah, para peserta akan berkongsi keperluan penyelesaian teknologi mampan merentasi komitmen penyahkarbonan, pendigitalan dan faktor pemboleh dalam pembangunan perbandaran.

Pendaftaran bagi persidangan peralihan tenaga TNB kini boleh layari di https://theetconference.com di mana nisiatif ini menepati trend semasa yang mana manusia mahu meningkatkan kebolehdiaman, menggalakkan inovasi dan mengurangkan kesan alam sekitar sambil memaksimumkan faedah bersama ekonomi dan sosial di bandar.

“Persidangan itu sejajar usaha TNB sebagai pemacu agenda Peralihan Tenaga di Malaysia dan hasrat merentasi Asia Pasifik dengan menampilkan penyelesaian mampan berteraskan pelanggan, dasar kawal selia tenaga dan teknologi peralihan kepada ekosistem tenaga yang lebih hijau.

“TNB telah menggariskan komitmennya untuk mencapai sifar bersih menjelang tahun 2050 dengan mempercepatkan pacuan peralihan tenaga secara bertanggungjawab melalui peningkatan nilai perusahaan bisnes penjanaan TNB, meluaskan pasaran Tenaga Boleh Baharu (TBB) memperkasa grid dan membangunkan ekosistem Kenderaan Elektrik (EV),” katanya. – MalaysiaGazette