Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan tidak mahu membuat sebarang kesimpulan tanpa merujuk laporan Lembaga Penyiasatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhubung punca insiden letupan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurut menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, adalah lebih baik untuk pihaknya menunggu hasil laporan tersebut kerana ia melibatkan kehilangan nyawa anggotanya.

“Kejadian malang tersebut memang satu tragedi bagi kami. Kita telah mengadakan satu jawatankuasa dalaman dan polis juga sedang menyiasat.

“Adalah lebih baik kita menunggu laporan jawatankuasa siasatan dalaman udara dan pihak polis untuk mereka keluarkan laporan yang dibuat dengan begitu teliti untuk mengetahui samada faktor kecuaian mahupun masalah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan dermasiswa premium dan sumbangan komputer riba di Auditorium Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, tiada laporan awal mengenai kejadian malang itu setakat ini dan pihaknya tidak mahu membuat apa-apa kesimpulan.

“Belum lagi kita tidak terus buat kesimpulan,” katanya.

Penghujung Jun lalu, Mohamad berkata, siasatan itu akan dilakukan dengan teliti merangkumi pelbagai aspek termasuk kemungkinan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan latihan berkenaan.

Dalam insiden itu, dua maut membabitkan anggota TUDM yang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas di lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas. 

Penuntut yang meninggal dunia di lokasi kejadian Laskar Udara 1, Mohd Iqmal Masdi, 22; manakala, jurulatih yang disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat ialah Koperal Udara Mohd Syuib Bidin, 33. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anggota TUDM maut bom lempar meletup, 2 jurulatih cedera