GCR civil servants salary scheme CUEPACS
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya kenaikan pencen sebanyak dua peratus setiap tahun bagi pesara dikekalkan sehingga kerajaan melaksanakan pelarasan gaji baru bagi penjawat awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, tidak wajar kemudahan tersebut ditarik semula tanpa menggantikannya dengan inisiatif baru.

“Ia mungkin boleh dikekalkan melalui bentuk pemberian lain seperti insentif sara hidup berbanding dihentikan serta merta,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu katanya, CUEPACS menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan ketetapan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah.

Kata Adnan, kongres berpendirian bahawa keputusan tersebut sebagai suatu perkara yang berlandaskan perlembagaan.

Maka tambah beliau, CUEPACS berpandangan kenaikan pencen pesara kerajaan sebanyak dua peratus secara tahunan telah terbatal dengan sendirinya selaras dengan keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, Adnan memohon supaya kerajaan tidak menuntut semula pembayaran pencen dengan kenaikan dua peratus sejak 2013.

Jelasnya, pembayaran tersebut telah dinikmati oleh pesara dengan jumlah berkenaan tidaklah terlalu besar untuk kebanyakan pesara dalam kumpulan M40 dan B40.

Sementara itu, Adnan juga menggesa kerajaan menyegerakan pelarasan gaji kakitangan awam yang akan memberi manfaat kepada pesara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast