Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran

KUALA LUMPUR – Sama seperti MCA – MIC juga tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri pada bulan depan.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran berkata, keputusan untuk tidak bertanding telah dibuat sebulat suara ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada 30 Jun lepas.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, keputusan itu dicapai selepas perbincangan serta mendengar pandangan semua pimpinan CWC selama lebih empat jam.

“Tetapi pada masa sama, MIC akan melaksanakan peranannya sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Dalam pada itu saya juga ingin menarik perhatian terhadap kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Pengerusi BN) yang menyatakan keputusan muktamad telah pun dibuat mengenai pengagihan kerusi-kerusi untuk ditandingi pada PRN  hakikatnya perkara ini tidak dibincang mahu pun dipersetujui oleh Majlis Tertinggi BN atau pun MIC,” katanya.

Sementara itu, Rajasekaran memberitahu, pihaknya sudah memaklumkan hasrat tidak bertanding kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Kerajaan Perpaduan Madani.

“Keputusan tidak bertanding di PRN yang akan datang dibuat semata-mata untuk melindungi kepentingan parti MIC, kita akan tumpu perhatian untuk proses bina struktur parti yang lebih mantap bagi menghadapi PRU-16 kelak,” ujarnya.

Sebentar tadi, MCA melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon juga menyatakan hasrat parti itu untuk tidak bertanding pada PRN akan datang di enam negeri bulan ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di keenam-enam negeri dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan MCA dan MIC akan diberi kerusi untuk bertanding di enam PRN tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengagihan kerusi bagi komponen BN itu akan mengambilkira kesesuaian dan memiliki kadar boleh menang yang tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast