KDNK Terengganu
Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pas Terengganu akan membuat pengumuman 10 Tawaran Pas Terengganu sempena program Jelajah Mega PN Best, Himpunan Teguh Pertahan Terengganu di Dataran Jambatan Angkat Sabtu ini.

Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjemput semua rakyat negeri itu untuk turut bersama dalam program itu.

“Saya juga ingin mengajak dan menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu terutamanya anak muda untuk turut serta dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi nanti.

“Ruang yang diberikan dalam sistem demokrasi ini perlu dimanfaatkan demi masa depan yang lebih baik,” katanya di Facebook miliknya malam ini.

Ahmad Samsuri turut menyeru kepada semua perantau yang bakal pulang mengundi agar membuat perancangan yang awal bagi memastikan perjalanan pulang berjalan lancar dan selamat sampai di destinasi masing-masing.

“Akhirnya, carilah dan jadilah pemimpin yang ibaratnya seperti kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar,” tulisnya lagi.

Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeru (DUN) Rhu Rendang berharap sepanjang tempoh kempen kritikal nanti rakyat memahami pelbagai kempen dan propaganda politik diluncurkan ke tengah-tengah masyarakat.

“Saya yakin rakyat kita bijak untuk tidak mudah terjerumus dalam perangkap media dan persepsi yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak.

“Adalah lebih wajar pihak yang bertanding, berkempen dengan cara yang matang, menawarkan khidmat dan membentangkan tawaran sebagai salah satu cara kita membawa politik dan demokrasi yang lebih sihat,” katanya.

Hari ini Kerajaan Terengganu telah melancarkan Kad Laporan Prestasi dan Buku Kejayaan Terengganu sepanjang tempoh lima tahun ini untuk dibaca dan dinilai oleh rakyat.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Umum bagi enam negeri pada 8 Ogos ini iaitu haari mengundi awal dan 12 Ogos depan sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast